My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 3 July 2017

    Benarkah Sarawak Ingin Keluar Dari Malaysia?



    Sejak semalam, ramai dikalangan netizen memperkatakan tentang tindakan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg menghantar sekumpulan barisan peguam ke London untuk menilai semula Perjanjian Penyertaan Sarawak kedalam Persekutuan Malaysia atau lebih dikenali sebagai MA63. 

    Ramai yang secara tiba-tiba membuat andaian bahawa Sarawak kini serius mempertimbangkan untuk menuntut kemerdekaan mereka sendiri dari kerajaan Persekutuan. Malah ada yang bertindak lebih jauh mendakwa, tindakan Datuk Amar Johari ini adalah untuk menilai semula hubungan dua hala "negara" Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan akibat beberapa pertembungan isu antara kerajaan Sarawak dan kerajaan pusat.

    Melihat kepada komen-komen yang dilemparkan terhadap berita ini, inginlah disampaikan jutaan ucapan tahniah kepada Sarawak for Sarawakian dan pembangkang di negeri berkenaan yang selama ini begitu sibuk menyemai sentimen kebencian antara Sarawak dan Semenanjung disamping usaha berterusan mereka memanipulasikan MA63 sehingga timbul permasalahan ini.

    Mungkin kerajaan Negeri Sarawak mempunyai tujuan tertentu semasa mengambil keputusan untuk menghantar sekumpulan barisan peguam ke London bagi menilai semula perjanjian asal MA63. Bagi mereka yang masih mampu berfikiran waras dan memahami selok belok politik Sarawak, tindakan Datuk Amar Abang Johari ini sebenarnya mempunyai signifikannya yang tersendiri.

    Seperti Sabah yang berhadapan dengan gerakan pemisah yang diwujudkan oleh Doris Jones, Sarawak juga berhadapan dengan pelbagai spekulasi yang sengaja ditimbulkan oleh S4S tentang MA63. Malah, DAP sendiri dilihat sedaya upaya menyemai sentimen kebencian antara rakyat Sarawak dan Semenanjung walhal kita bernaung di bawah bendera dan negara yang sama.

    Pelbagai spekulasi dibuat kononnya perjanjian berkenaan berat sebelah dengan menekan kerajaan Sarawak supaya akur kepada semua keputusan kerajaan pusat tanpa mengambil kira sentimen suku kaum dan etnik di Sarawak. Hal ini telah menimbulkan banyak persoalan dan rasa kurang senang banyak pihak sehingga ada ketikanya, keadaan akan berubah sedikit tegang jika ada hak Sarawak di sentuh.

    Malah, Allahyarham Tan Sri Haji Adenan Satem sendiri mengingatkan rakyat Sarawak supaya usah mudah terpengaruh dengan gerakan pemisah ini kerana selagi mana kerajaan Sarawak yang wujud pada hari ini memerintah, tidak pernah wujud istilah mewujudkan sebuah negara Sarawak dalam mana-mana agenda kerajaan negeri.

    Dalam satu temubual eksklusif Allahyarham dengan TV3 dalam segmen Sola Jawab beberapa tahun lalu, Allahyarham menegaskan bahawa adalah satu perkara yang mustahil buat Sarawak memisahkan diri dengan kerajaan pusat. Banyak perkara harus diambil kira seperti soal keselamatan, kesihatan, pendidikan dan lain-lain lagi sekiranya kerajaan negeri mengambil keputusan untuk berpisah.

    Apa yang dilakukan hari ini adalah, siri rundingan pelbagai fasa antara kedua-dua kerajaan bagi mengenal pasti, hak-hak dan kuasa yang mungkin telah terambil oleh kerajaan pusat untuk dipulangkan semula kepada kerajaan negeri. Malah dalam siri rundingan ini, hak pembangunan Sarawak juga turut dimasukkan supaya jurang ekonomi antara Semenanjung dan Sarawak dapat dikecilkan.

    Usaha yang dimulakan oleh Allahyarham Tan Sri Haji Adenan Satem ini diteruskan oleh Datuk Amar Abang Johari. Seperti yang diakui sendiri oleh beliau dan Datuk Seri Mohd Najib semasa Pilihan Raya Kecil N01 Tanjong Datu awal tahun ini, rundingan kini sudah memasuki fasa yang agak kritikal dan jauh lebih kompleks dari sebelumnya.

    Menyedari akan pelbagai mainan spekulasi dan beberapa perkara dalam rundingan pemulangan kuasa ini, maka tindakan Datuk Amar Abang Johari menghantar sekumpulan peguam ke London, memang kena pada masanya.

    Samada andaian ini betul atau pun tidak, tindakan ini mempunyai banyak tujuan. Selain daripada mendapatkan semula salinan asal MA63 yang masih tersimpan di London, mainan spekulasi yang dimainkan oleh S4S dan gerakan pemisah ini dapat dipatahkan menerusi salinan asal MA63 yang diambil terus dari London bagi menepis sebarang dakyah liar mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

    Selain itu, menerusi salinan asal ini juga kerajaan pusat dan kerajaan negeri dapat menilai semula beberapa perkara yang mungkin telah di edit oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir bagi mewajarkan penguasaan penuh dirinya terhadap Sarawak. Selain itu, ia dapat menilai beberapa perkara yang mungkin terambil atau bertindih untuk dipulangkan semula kepada Sarawak.

    Paling utama, salinan asal perjanjian MA63 ini juga dapat dijadikan tanda pengukur sejauh mana kedua-dua kerajaan ini mematuhi perjanjian ini. Mungkin juga salinan ini akan dipamerkan untuk tatapan rakyat Sarawak supaya memahami intipati perjanjian ini dan menjawab begitu banyak tohmahan yang dilemparkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan mempunyai kepentingan politik.

    Justeru, untuk mengandaikan kerajaan negeri Sarawak serius untuk meninggalkan Malaysia menerusi tindakan Datuk Amar Abang Johari yang menghantar sekumpulan peguam ke London, adalah satu dakwaan yang cukup karut dan tidak masuk akal.

    Dengan pelbagai limpahan kemajuan yang sudah disalurkan ke Sarawak secara berperingkat-peringkat oleh kerajaan pusat seperti pembinaan Pan Borneo Highway, tidak mungkin kerajaan Sarawak akan mengambil tindakan luar biasa dengan meninggalkan Malaysia hanya semata-mata terpengaruh dengan dakyah dan hasutan pihak-pihak yang tidak menyayangi negeri Sarawak sepenuh hatinya.

    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Benarkah Sarawak Ingin Keluar Dari Malaysia? Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top