Peminat jentera dua roda kebiasaannya memiliki pandangan berbeza terhadap motosikal idaman masing-masing. Ada yang gemarkan kelajuan, keselesaan, reka bentuk, malah warna juga kadangkala menjadi tarikan. Untuk golongan lebih berusia, ‘otai’ atau veteran, sudah pasti jentera klasik, cruiser atau bersifat easy rider menjadi pilihan untuk menghabiskan waktu hujung minggu.
Baru-baru ini, penulis menunggang uji model Indian Chief Classic, jentera legenda yang maskulin dengan hamburan kuasa tidak terbatas. Jentera ini didatangkan dengan kapasiti enjin 1,811cc atau lebih dikenali sebagai ‘111 Cubic Inch’.
Ketika mula ditawarkan pengedarnya, Harmony Fabulous Sdn Bhd untuk ditunggang uji, penulis seakan-akan tidak yakin mengendalikannya. Beratnya saja mencecah 357 kilogram (kg), sudah pasti penulis akan ‘terkial-kial’ mengawalnya di jalan raya.
Namun, bentuknya yang mengancam selain mahu merasai sendiri kuasa enjin gergasi yang berkilau di bawah tangki bahan apinya, penulis bersetuju. Sebaik punat penghidup enjin ditekan, terdengar ngauman enjin Triple-Cam V-Twin Thunder Stroke 111 sejukan udara seumpama guruh yang sangat mengujakan.
Terdahulu, masih ramai kurang mengenali Indian Motorcycles walaupun kelahirannya dua tahun lebih awal daripada Harley-Davidson. Indian Motorcycles memiliki latar belakang yang panjang selaku motosikal pertama keluaran negara ‘Uncle Sam’ pada 1901. Kelasakannya terbukti apabila jenama ini turut digunakan dalam Perang Dunia.
Jadi, sudah pasti hasil kejuruteraannya adalah yang terbaik. Penulis tidak menafikan selain tarikan kapasiti enjin gergasinya, ciri luarannya juga tidak mengecewakan. Terserlah simbol Red Indian atau War Bonnet hampir di setiap sudut sama ada di mudgad hadapan, sisi enjin dan tangki.
Kemasan krom pula hampir di semua bahagian termasuk kerangka lampu hadapan, penutup enjin, ekzos dan tangki minyak menempatkan meter kelajuan dan paparan maklumat. Setiap inci rekaannya sangat teliti dan sempurna bermula dari bahagian hadapan sehingga ke fender belakang, jelas jelmaan semula motosikal klasik era 1940-an.
Paling menarik perhatian penulis sudah pasti lakaran angka 111 pada kulit enjin, menggambarkan kuasa yang ada pada jentera ini. Walaupun berciri klasik, namun diselaputi teknologi moden apabila lampu belakang didatangkan dengan cahaya LED. Sepasang ‘spot light’ pada bahagian hadapan membantu tunggangan malam terutama mengharungi lebuh raya pada kelajuan tinggi.
Menunggangnya pula tidak sesukar disangkakan apabila penulis mudah menyelinap di antara kenderaan ketika mengharungi kesesakan di ibu kota. Kedudukan pelana rendah dan perehat kaki yang selesa menjadikan setiap perjalanan tidak meletihkan.
Pecutannya pula tidak perlu dipertikaikan apabila nadi 111 inci kubik ini bertindak cemerlang bersama transmisi enam kelajuan. Deruman daripada ekzos berkembarnya menyebabkan banyak anak mata meleret memerhatikan susuk fizikal motosikal ini. Menerjah ke kelajuan melebihi 150 kilometer sejam (km/j) bukan masalah dan pengendaliannya kekal stabil.
Difahamkan, jentera ini mampu memecut sehingga 240km/j tetapi penulis tidak akan mengujinya di jalan raya kecuali di litar lumba dengan kelengkapan yang sesuai.
Jentera ini turut didatangkan dengan kawalan cruise yang membolehkan pendikit ditetapkan secara automatik dan sangat berguna ketika menunggang di lebuh raya. Setiap kali pendikit dipulas, enjin V-twin ini sangat responsif dengan daya kilas maksimum 161.6Nm boleh dirasai seawal 3,000rpm.
Suspensi hadapan dan belakang beraksi dengan sempurna ketika mengambil selekoh selain menyerap segala hentakan atau bonggol. Dengan enjin yang besar dan susuk yang berat, sudah pasti jentera ini memerlukan kuasa pemberhentian yang mencukupi.
Ternyata Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) membantu penulis mendapatkan jarak selamat untuk berhenti atau memperlahankan motosikal. Hampir seminggu menemani, penulis berpendapat Indian Chief Classic bukanlah cruiser biasa tetapi cukup sempurna. Reka bentuk, prestasi, keselesaan dan keselamatan adalah yang terbaik dalam kategorinya.
Sekiranya mahu kelainan dan lebih eksklusif, Indian Chief Classic adalah jawapannya.
0 comments:
Post a Comment