My Blog List

Translate

  • PANAS

    Sunday, 6 May 2018

    Perjuangan 3 Srikandi



    Mengisi masa lapang selepas tamat tingkatan lima dengan mengikut ibu yang juga Presiden Yayasan Pendidikan dan Vokasional Wanita Malaysia (YPVWM) turun padang ke kawasan luar bandar di seluruh negara menjalankan kerja amal, mengundang minat Nur Aziatty Abu Bakar, 35, untuk berbakti kepada masyarakat sekali gus meneruskan usaha murni ibunya. 

    YPVWM yang ditubuhkan hampir 19 tahun lalu diasaskan Mariamah Jaffar bertujuan menyediakan prasarana pendidikan bagi melatih dan meningkatkan kemahiran wanita dalam bidang teknikal dan vokasional selaras dengan arus perkembangan industri dan ekonomi semasa negara.

    “Ibu yang mengasaskan yayasan bersama rakan, Dr Halimah Awang, lebih gemar mengunjungi sendiri lokasi luar bandar seperti kampung pedalaman dan penempatan Felda sambil menawarkan khidmat yayasan kepada mereka yang difikirkan patut menerima bantuan latihan.

    “Yayasan turut memberi peluang kepada wanita melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan mendapatkan kemahiran khusus seperti teknologi maklumat, jahitan untuk keperluan industri atau kemahiran vokasional yang lain.

    “Saya juga menggunakan peluang cuti semester membantu ibu menyelaras aktiviti untuk golongan sasaran, malah menawarkan diri menjadi sukarelawan pengajar untuk melatih mereka terutama dalam kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT),” katanya.

    Nur Aziatty berkata, sebaik tamat pengajian dalam inovasi media dan keusahawanan di Universiti Multimedia (MMU) Cyberjaya, beliau terbabit sepenuh masa dalam yayasan pada 2007 dan dilantik sebagai Pengarah Program YPVWM lima tahun kemudian.

    “Tugas saya mencari projek dengan dana daripada pihak berkaitan seperti agensi kerajaan dan badan korporat untuk membantu golongan sasar memajukan diri termasuk menjana pendapatan. Yayasan juga menubuhkan agensi jahitan dan fesyen berkemahiran tinggi, Rocka Atelier, pada 2016 bagi membantu mereka yang berminat dalam bidang ini mengembangkan bakat dan kemahiran ke pasaran lebih luas,” katanya.

    Nur Aziatty tidak bersendirian dalam meneruskan legasi ibunya apabila dua adik, Nur Azrin, 30, dan Nur Azlyn, 28, turut membantu dalam menyelaras program kemasyarakatan yang dirancang.

    Nur Azrin yang ditugaskan sebagai pengurus projek terbabit dalam kerja pemasaran dan penjenamaan serta merekrut pelatih baru, manakala Nur Azlyn pula sebagai tenaga pengajar dalam rekaan fesyen dan jahitan moden.

    “Kami bergabung bukan saja memberikan latihan kemahiran, malah berkongsi ilmu keusahawanan kerana mahu peserta mampu menjana pendapatan menerusi kemahiran dipelajari dengan membuka perniagaan sendiri.

    “Kini, kami mahu kembangkan lagi kemahiran yang ditawarkan kepada bidang pertukangan dan elektronik supaya peserta mempunyai lebih pilihan sesuai dengan tahap kemahiran mereka dan tidak tertumpu kepada jahitan dan teknologi maklumat,” katanya.

    Nur Aziatty berkata, walaupun kerja kebajikan dilakukan ada kalanya memenatkan dan mencuri banyak masanya untuk bersama keluarga, tetapi beliau berasa puas kerana dapat membantu masyarakat terutama wanita yang tidak mendapat banyak peluang dalam hidup akibat tidak berkemampuan.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Perjuangan 3 Srikandi Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top