Dua pemain badminton profesional negara, Zulfadli Zulkiffli, 25, dan Tan Chun Seang, 31, digantung oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) daripada terlibat dengan sukan tersebut selepas didapati bersalah mengatur perlawanan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan BWF semalam, Zulfadli yang merupakan Juara Remaja Dunia 2011 digantung selama 20 tahun serta denda AS$25,000 (RM98,000) sementara Chun Seang berdepan penggantungan 15 tahun dan didenda AS$15,000 (RM58,900).
Keputusan tersebut dibuat selepas tiga panel bebas yang dilantik mendapati Zulfadli melakukan 27 kesalahan melanggar Kod Tatatertib 2012 serta empat Kod Tatatertib 2016 berhubung Pertaruhan dan Mengatur Perlawanan.
Sementara itu, Chun Seang yang juga bekas pemain naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terlibat dalam 26 pelanggaran Kod Tatatertib 2012 Pertaruhan dan Mengatur Perlawanan. “Panel bebas mendapati kedua-dua pemain tersebut sudah lama bergiat dalam aktiviti mengatur perlawanan menerusi beberapa kejohanan sejak 2013,” kata BWF dalam kenyataan itu semalam.
0 comments:
Post a Comment