My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 12 October 2016

    Bahana Sabung Ayam

    TERBAKAR: Keadaan beberapa motosikal yang dibakar dalam pergaduhan tersebut.

    Bahana sabung ayam mencetuskan perbalahan antara dua puak warga Indonesia sehingga mengakibatkan seorang daripada mereka parah di kepala akibat ditetak dalam satu insiden di sebuah ladang kelapa sawit di Simunjan, kelmarin. 

    Pemangku Ketua Polis Daerah ASP Belun Ibrahim berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada Ahad, 9 Oktober lepas di sebuah ladang di Sungai Krang, Gedong sekitar jam 6 petang. Menurutya, perbalahan antara kaum Timor dan Bugis dari Indonesia itu dipercayai berpunca daripada ketidakpuasan hati semasa kegiatan sabung ayam di kuarters pekerja.

    “Kejadian dipercayai akibat rasa tidak puas hati semasa sabung ayam menyebabkan berlaku rusuhan melibatkan pekerja warga Indonesia dari suku Timor dan Bugis. Pada hari kejadian, seramai lima orang dari suku kaum Timor ditangkap untuk membantu siasatan dan suspek utama yang menimbulkan rusuhan berjaya ditangkap pada pagi ini (semalam).

    “Selain itu, tiada kematian seperti yang diviralkan, cuma ada seorang lelaki mengalami kecederaan akibat ditetak di kepala,” katanya ketika diminta mengulas mengenai insiden tersebut semalam. 

    Difahamkan, wakil dari Konsulat Jeneral Republik Indonesia juga hadir di lokasi kejadian semalam untuk bertemu dengan semua pekerja dari kaum Bugis dan Timor. “Hari ini (semalam) ada pertemuan melibatkan pekerja Bugis dan Timor serta turut dihadiri wakil Konsulat Jeneral Republik Indonesia yang datang untuk meneutralkan keadaan,” kata Belun.

    Tambahnya lagi, terdapat beberapa buah motosikal dibakar dalam insiden tersebut. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Datuk Dev Kumar menasihatkan netizen agar berhenti menyebarkan maklumat palsu berhubung kejadian tersebut.

    “Viral yang mengatakan ada mangsa terbunuh adalah tidak benar, di mana hanya seorang sahaja mangsa yang parah di kepala dan kita juga telah menahan beberapa individu yang terlibat dalam perbalahan tersebut.

    “Untuk makluman, situasi di ladang tersebut kini terkawal dan kita menyeru netizen agar berhenti menyebarkan maklumat palsu berhubung kejadian yang boleh menimbulkan kegusaran kepada orang ramai,” jelasnya.

    Selain itu beliau turut memberitahu pihaknya telah menahan seorang anggota polis bantuan yang bertugas di ladang tersebut kerana menyebarkan maklumat palsu berhubung kejadian.

    “Kita menahan seorang pemilik akaun Facebook yang merupakan anggota polis bantuan kerana menyebarkan maklumat palsu berhubung kejadian dengan mengatakan ada seorang warga Indonesia terbunuh dalam insiden tersebut.

    “Ingin ditegaskan kita tidak akan teragak-agak untuk menahan mana-mana pihak atau individu yang menyebarkan khabar angin atau maklumat palsu secara atas talian,” tegasnya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Bahana Sabung Ayam Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top