My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 13 October 2016

    Fattah, Neelofa Mesra Tanpa Cinta





    GANDINGAN buat pertama kali antara pelakon jelita, Neelofa dan si kacak Fattah Amin dalam drama terbaharu berjudul Suri Hati Mr. Pilot yang mula bersiaran sejak Isnin lalu, ternyata berjaya mencuri tumpuan ramai peminat. 

    Selain menjadikan ia kemunculan perdana Neelofa dalam drama rantaian selepas beberapa tahun berehat daripada dunia lakonan, cetusan ‘kimia’ antara dirinya dengan Fattah begitu serasi. 

    Sementelah, tindakan mereka yang kerap memuat naik gambar kemesraan dalam laman Instagram masing-masing sebagai salah satu cara mempromosikan drama arahan Michael Ang yang sedang ditayangkan di saluran Astro itu juga mencetuskan spekulasi tentang benih-benih cinta yang sedang subur.

    Diasak dengan dakwaan hubungan cinta mereka tidak sahaja di dalam set penggambaran, sebaliknya berada dalam dunia realiti, Fattah menjelaskan, apa yang dipaparkan dan dilihat khalayak hanya satu ‘sandiwara’ untuk mempromosikan naskhah tersebut.

    Tidak ingin terus membuai emosi peminatnya, Fattah atau nama lengkapnya, Abdul Fattah Mohd. Amin yang dihubungi media baru-baru ini bagaimanapun menjelaskan, segala adegan dan perkongsian gambar kemesraannya dengan Neelofa sekadar menghayati wataknya sebagai Kapten Ejaz Fakhri.

    Dengan tegas pelakon itu menafikan ada menyimpan perasaan cinta terhadap aktres kelahiran Kelantan itu. “Semua gosip itu tidak betul. Adegan manis dan gambar kemesraan yang peminat lihat itu hanya dalam drama. Saya dan Neelofa berbuat demikian kerana perlu mengikut kehendak skrip dan pengarah,” ujarnya.

    Ketika ditanya mengenai gambar-gambar yang dikongsikan sewaktu bersama di luar set penggambaran pula, dengan tenang lelaki berusia 26 tahun itu tidak menafikan memang mudah mencipta keserasian bersama Neelofa. “Jika di luar set penggambaran kami hanya kawan biasa.
    Bagaimanapun, tidak dinafikan kami dapat mencipta keserasian dengan mudah,” terangnya ringkas. 

    Tiada masa Sama seperti Fattah, Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd. Noor, turut menyatakan alasan sama. Menerusi siaran langsung program MeleTOP yang disiarkan pada malam Selasa lalu, Neelofa turut menyangkal dakwaan bercinta dan menegaskan, mereka sekadar menjalankan tanggungjawab sebagai pelakon drama berkenaan.

    Dia yang memegang watak sebagai Warda Erina dalam drama tersebut menyatakan, fokusnya kini hanya tertumpu kepada urusan kerjaya. Bahkan, wanita yang baru sahaja pulang daripada mengerjakan haji pada hujung September lalu turut menyatakan dirinya tidak punya banyak masa untuk berehat.

    “Sejak pulang dari Mekah sehingga sekarang, saya tiada masa untuk berehat, apatah lagi hendak bercinta. Namun, saya tidak menafikan kami memang serasi ketika berlakon dan ia hadir tanpa paksaan,” katanya yang hanya memikirkan soal kerja buat masa ini.

    Sementara itu, pengarah drama tersebut, Michael Ang ketika ditemui pada majlis ulang tahun ke-20 Astro di Pusat Penyiaran Asia, Bukit Jalil baru-baru ini menjelaskan tertarik dengan keserasian yang wujud antara mereka sepanjang penggambaran. Dia tidak menafikan turut merasai bahang ‘percintaan’ kedua-dua pelakon tersebut.

    “Ya, mereka memang ‘bercinta’ di lokasi drama ini tetapi di luar set, saya tidak tahu sama ada mereka memang intim atau sebaliknya. “Keserasian mereka membintangi drama ini jelas kelihatan dan masing-masing sangat ‘memberi’ apabila membabitkan babak intim. Itulah yang saya mahukan,” tutupnya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Fattah, Neelofa Mesra Tanpa Cinta Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top