Enam belia Perlis dikesan menjadi penagih baharu syabu setiap hari. Statistik itu berdasarkan rekod Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perlis yang melaporkan sehingga Ogos tahun ini, negeri itu mecatatkan seramai 1,430 penagih dadah.
Pengarah AADK negeri, Azizah Ahmad berkata, angka terbaharu itu membimbangkan kerana jumlah penagih di negeri ini meningkat 100 peratus berbanding tahun lalu yang direkodkan sekitar 700 orang.
“Daripada jumlah penagih berdaftar dengan AADK iaitu sebanyak 1,430, seramai 1,170 atau 82 peratus melibatkan penagih dalam kalangan remaja atau belia berumur 18 hingga 39 tahun,” kata beliau ketika dihubungi media di sini semalam.
Menurut beliau, ramai belia dan remaja yang terjebak dengan dadah syabu tertipu selepas pengedar mendakwa bahan terlarang itu mampu membuatkan seseorang itu lebih bertenaga, cerdik, kurus dan cantik.
“Bagi pelajar sekolah menengah, kolej atau universiti, mereka tertipu kerana pembekal memberitahu, menghisap syabu membolehkan mereka berjaga malam untuk membaca buku.
"Lebih tidak masuk akal apabila pembekal mampu memperdaya pelajar-pelajar dengan memberitahu pengambilan syabu memudahkan mereka menghafal setiap subjek yang dipelajari selain menjadikan mereka cepat pandai dan kreatif,” kata beliau.
0 comments:
Post a Comment