Lebih ramai pengundi wanita menolak calon Presiden Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Republikan, Donald Trump berbanding pengundi lelaki, demikian menurut tinjauan pendapat agensi berita AP-GFK baru-baru ini.
Keputusan tinjauan pendapat itu disiarkan sebelum pendedahan kenyataan jelik Trump tentang wanita. Tinjauan itu mendapati, 60 peratus pengundi wanita tidak mahu Trump menjadi Presiden AS berbanding 52 peratus pengundi lelaki.
Pengundi wanita juga cenderung menyatakan Trump bukan seorang yang berperangai elok (54 peratus berbanding 49 peratus lelaki) atau mempunyai belas kasihan (58 peratus berbanding 50 peratus lelaki). Rakaman pada 2005 yang disiarkan pada Jumaat lalu itu memaparkan Trump sebagai berkata, beliau boleh mencium, meraba dan melakukan apa sahaja kepada wanita kerana popularitinya.
Komen celupar itu menyebabkan sebilangan wakil rakyat Parti Republikan menolak pencalonan Trump tetapi kebanyakan pengundi wanita berkata, komen tersebut sepatutnya tidak mengejutkan. Seorang penyokong Parti Republikan, Debbie Manzanares berkata, dia tidak akan mengundi Trump tetapi bukan disebabkan rakaman tersebut.
“Sekiranya mereka terkejut, mereka tidak kenal Trump,” katanya. Seorang wanita lain, Marie Cote menyatakan rakaman itu mengubah keputusannya untuk mengundi Trump. Cote, 60 mempunyai lima anak perempuan dan komen Trump itu menyebabkan dia terganggu.
“Saya bimbang masa depan mereka jika Trump menjadi Presiden,” katanya. Namun, sebilangan lagi wanita berkata, mereka akan mengundi Trump walaupun kecewa dengan kenyataan beliau. Seorang pengundi tersebut, Susan Broadwell berkata, kelakuan Trump memang menyakitkan hati.
Namun, komen biadab Trump adalah perkara kecil berbanding tindakan Clinton, terutamanya berkaitan serangan pada 2012 yang mengorbankan empat warga AS di Benghazi, Libya.
0 comments:
Post a Comment