My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 3 May 2017

    Kerajaan Peruntuk RM1.025 Juta Pindah Batu Sumpah




    Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM1.025 juta untuk membiayai projek penempatan semula Batu Sumpah yang kini diletakkan di hadapan Pejabat Daerah Keningau. 

    Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata satu lokasi strategik dikenal pasti bagi menempatkan batu bersejarah itu, sekali gus memudahkan orang ramai atau pelancong melihat Batu Sumpah berkenaan yang juga menjadi mercu tanda utama di daerah itu. 

    "Projek yang dikategorikan di bawah Pelan Pusingan Kedua (RP2), Rancangan Malaysia ke-11 itu merangkumi kerja-kerja seperti pemindahan Batu Sumpah, pembinaan jalan, tembok bersejarah dan penyediaan tempat letak kenderaan," katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) 1Malaysia Voluntourism Plant A Tree dan Pelancaran Tahun Melawat Keningau 2018, di Muzium Warisan, dekat sini hari ini.

    Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup serta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun.

    Batu Sumpah merupakan satu peringatan sejarah yang sangat penting, bukan sahaja untuk daerah Keningau dan Sabah, tetapi juga pewujudannya berkait rapat dengan pembentukan Malaysia. 

    Batu bersejarah itu dirasmikan Menteri Buruh Tan Sri V. Manickavasagam pada 31 Ogos 1964 dengan disaksikan Ketua Menteri Sabah Tun Fuad Stephens yang mewakili Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu, serta pegawai kerajaan dan ketua-ketua etnik penduduk tempatan di hadapan Pejabat Daerah Lama Keningau pada ketika itu.

    Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Muzium Sabah akan mewartakan Batu Sumpah itu sebagai Warisan Budaya di bawah Enakmen Warisan Budaya (Pemuliharaan 1997) Sabah, sebaik kerja-kerja pemindahan selesai dilakukan.

    "Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui Jabatan Warisan Negara juga akan memohon kepada kerajaan negeri untuk mewartakan Batu Sumpah itu sebagai Objek Warisan di bawah Seksyen 49 Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645)," katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kerajaan Peruntuk RM1.025 Juta Pindah Batu Sumpah Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top