My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 9 May 2017

    Tangani Kemalangan Melibatkan Anak Kecil


    Anak merupakan anugerah Ilahi yang melengkapi kehidupan sesebuah keluarga. Melihat perkembangan anak yang membesar di depan mata pasti membuatkan si ibu atau bapa begitu teruja. Biar macam mana sekalipun keletah anak kecil itu, kehadiran mereka mampu memberi keceriaan kepada pasangan suami isteri. 

    Sudah pasti, kedua-dua ibu bapa begitu menyayangi anak mereka hingga ada yang sanggup membuat apa sahaja demi memastikan keselamatan anak terjamin. Macam mana sekalipun peka mengenai keselamatan anak, kecelakaan begitu sukar dihindari. Bak kata pepatah, malang tidak berbau. 

    Penganalisis Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Meor Roslan Meor Mohd. Jaafar berkata, mutakhir ini rancak berlaku kemalangan melibatkan golongan kanak-kanak sehingga menyebabkan kematian. Lazimnya, ia berlaku sekelip mata dan ketika kemalangan itu berlaku kebanyakannya di luar pengawasan penjaga.

    “Kemalangan yang berlaku melibatkan golongan kanak-kanak sering kali dikaitkan dengan unsur kecuaian ketika memandu. Memang kita tidak dapat menolak sebarang kemungkinan kecelakaan yang bakal berlaku, tetapi pemandu seharusnya sentiasa berwaspada dan peka terhadap keadaan kawasan sekeliling.

    “Ini supaya sekiranya sebarang kejadian yang tidak diingini hampir berlaku, pemandu sempat bertindak untuk mengurangkan risiko kemalangan parah,” jelasnya ketika dihubungi media baru-baru ini.

    Awal Mei lalu, media melaporkan seorang budak perempuan berusia empat tahun maut dirempuh sebuah van ketika dia sedang memilih barang permainan bersama ibu bapanya di tapak pasar malam Golden Hill di Cameron Highlands, Pahang.

    Keadaan tapak pasar malam Golden Hills di Cameron Highlands, Pahang selepas dirempuh van yang turut meragut nyawa Adra Mustaffa. Kejadian tersebut menimpa Adra Mustaffa Kamal, 4, pada pukul 9.45 malam selepas pemandu van jenis Toyota Liteace mendakwa tertekan pedal minyak dengan kuat hingga menyebabkan kenderaan itu bergerak laju sebelum merempuh mangsa.

    Meninggal dunia

    Mangsa meninggal dunia di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom selepas mengalami kecederaan parah pada kepala. Dalam perkembangan lain, seorang budak lelaki berusia tujuh tahun terjatuh dari motosikal yang ditunggang ibunya di Jalan Simpang Kuala, Alor Setar sehingga menyebabkan tangan kirinya patah dan hampir putus.

    Dalam kejadian pada pukul 1.30 petang itu, Muhd. Qayyuumm Sabri terjatuh selepas jaketnya tersangkut pada rantai motosikal. Klip video insiden budak itu terjatuh dari motosikal tular di media sosial dan mendapat reaksi pelbagai pihak.

    Pakar Psikologi dan Dekan Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Prof. Madya. Dr. Mariani Md. Nor berkata, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan keselamatan anak-anak terjamin. “Ibu bapa seharusnya tidak perlu berkompromi soal keselamatan anak-anak.

    “Mereka boleh memeriksa terlebih dahulu keadaan keselamatan anak secara menyeluruh supaya risiko berlaku sebarang kecelakaan dapat dikurangkan. “Selain itu, masyarakat juga boleh membantu dengan mengambil peduli kejadian yang berlaku di sekeliling supaya kejiranan yang selamat dapat diaplikasikan,” ujarnya.

    Justeru, kemalangan melibatkan kanak-kanak tidak mustahil untuk dihindari pada masa akan datang sekiranya semua pihak berganding bahu dalam menangani isu ini.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Tangani Kemalangan Melibatkan Anak Kecil Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top