My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 12 July 2017

    'Ber-Muthu Tinggi' Komik Dwibahasa



    LEBIH 20,000 pengikut di Instagram, komik yang diberi nama ‘Ber-Muthu Tinggi’ (@ainthakim) menampilkan kelainan dengan mula memperkenalkan komik versi dwibahasa. Bagi Muhammad Nur Hakim Razali, 20, usahanya itu bukan saja bertujuan memudahkan komiknya dibaca penduduk luar negara tapi pada masa sama membantu remaja memperkasa penggunaan bahasa Inggeris. 

    “Saya mula terfikir untuk hasilkan komik dengan versi bahasa Melayu dan Inggeris selepas Instagram perkenal ciri baru yang membolehkan kita muat naik lebih satu gambar serentak. Hanya guna komik yang sama cuma perlu tukar dialog jadi ia tidak mengambil masa lama. Sedikit usaha kecil mampu membantu komik tempatan dikenali penggemar komik luar negara.

    “Selain itu, rata-rata pengikut komik Ber-Muthu Tinggi adalah golongan awal remaja, jadi saya rasa penting untuk sampaikan mesej positif dengan konteks yang tidak keterlaluan dan mendidik mereka menggunakan bahasa Inggeris melalui komik dwibahasa,” katanya yang berasal dari Banting, Selangor.

    Mula menghasilkan komik di Instagram sejak Jun tahun lalu, anak muda yang selesa disapa Hakim ini berkata setakat ini dia sudah memuat naik lebih 100 komik.

    Anak muda kelulusan Diploma Mekanikal dari Malaysian Institute of Technology Academy, Shah Alam ini berkata, dia mendapat inspirasi menghasilkan komik di Instagram selepas melihat kewujudan komik tempatan di media sosial itu. “Saya memang minat melukis dan gemar melukis sejak kecil.

    Tapi idea untuk perkenalkan komik di Instagram selepas melihat banyak komik tempatan seperti komik Ronyok yang aktif di media sosial itu. “Walaupun pada awalnya pengikut tidak sampai seribu tapi saya giat dan terus menghasilkan komik kerana minat melukis yang menebal,” katanya.

    Menurut Hakim lagi, nama ‘Ber-Muthu Tinggi’ diambil sempena nama panggilan Nur Hakim di kolej selain ia membawa maksud berkualiti tinggi. Menariknya, hasil kerja tangan hakim tampil berbeza dengan mengetengahkan genre sedih selain menyelitkan cerita yang memberi pengajaran.

    “Pada awalnya saya perkenalkan genre komedi kerana fikir orang ramai minat pengisian yang kelakar tapi selepas itu saya rasa bukan mudah untuk sampaikan sesuatu dalam konteks komedi sekiranya tidak kena dengan gaya. Saya ingin cuba genre seram tapi ia agak sukar, jadi beralih kepada komik yang sedih dan terkejut apabila ia diterima ramai,” katanya.

    Bermula dengan kaedah konvensional sepenuhnya, Hakim bercadang hasilkan komik menerusi kaedah digital sepenuhnya pada masa akan datang. “Pada awalnya saya buat komik guna kaedah konvensional sepenuhnya dengan melukis dan mewarna tangan. Selepas siap saya ambil gambar dan muat naik diInstagram.

    “Kini, saya hasilkan komik menggabungkan kaedah konvensional dan digital dengan membuat lukisan tangan menggunakan pensel lakaran dan pen lukis kemudian saya imbas masukkan dalam komputer untuk diwarnakan dengan perisian Adobe Photoshop.

    “Saya bercadang dapatkan tablet khas untuk melukis secara digital dan pada masa sama menjimatkan masa selain lukisan mudah diperbaiki,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: 'Ber-Muthu Tinggi' Komik Dwibahasa Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top