My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 12 July 2017

    Eksport Malaysia Naik 8.21 Peratus



    Malaysia meraih pertumbuhan eksport memberangsangkan selepas memuktamadkan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) pada 2015 dengan mencatatkan peningkatkan 8.21 peratus kepada RM230.93 bilion pada 2016 berbanding RM213.4 bilion pada 2014. 

    Hasil kerjasama ekonomi serantau itu turut membantu lebih banyak pengaliran aktiviti eksport Malaysia ke negara ASEAN memandangkan usahawan tempatan dapat menerima manfaat hasil pemansuhan beberapa halangan dagangan sebelum AEC dimuktamadkan.

    Pengarah Unit ASEAN Bahagian Akses Pasaran dan Kerjasama Antarabangsa Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Raja Badrulnizam Raja Kamalzaman berkata, pemansuhan dan aktiviti menyeragamkan beberapa polisi dagangan di ASEAN ketika ini dilaksanakan secara berperingkat yang kesannya mula dapat dilihat menerusi peningkatan angka eksport negara pada tahun lalu.

    Beliau berkata, AEC turut membantu memudahkan peniaga tempatan menjimatkan kos dagangan mereka di negara ASEAN yang lain kerana sebelum ini terdapat beberapa prosedur dagangan berbeza yang menyebabkan syarikat Malaysia perlu membuat pelaburan baru untuk memasuki pasaran di rantau ASEAN.

    “Misalnya sebelum AEC dimuktamadkan, sijil halal kita diterima negara ASEAN yang lain tetapi mereka perlu membuat cetakkan baru logo halal mereka pada pembungkusan mengikut negara. Perkara ini sudah tentu menyebabkan peniaga tempatan perlu mengeluarkan kos yang lebih tinggi untuk ke pasaran asing.

    “Dengan adanya penyeragaman dan pemansuhan beberapa perkara dalam dagangan di peringkat serantau, kita boleh menggalakkan lebih banyak usahawan tempatan untuk menerokai pasaran ASEAN dan negara ahli yang lain juga boleh memasarkan produk mereka dengan mudah di Malaysia. Ini sekali gus, ia dapat meningkatkan nilai dagangan dua hala,” katanya pada taklimat media sempena kerjasama MATRADE dan PanPages Bhd (PanPages) di sini, semalam.

    Dalam kerjasama itu, PanPages yang menyediakan platform serta perunding perniagaan ASEAN bakal membawa 1,000 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang juga pelanggannya untuk menyertai Hari Terbuka AEC Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada 8 dan 9 Ogos ini sempena sambutan ulang tahun ke-50 ASEAN.

    Hadir sama dalam taklimat berkenaan, Pengarah Komuniti Perniagaan PanPages, CK Lim yang berhasrat untuk meningkatkan penyertaan lebih banyak pemain PKS menyertai aktiviti eksport ke Asean.

    Katanya, menerusi data syarikatnya, terdapat 4,000 pelanggan dan hanya sekitar 15 peratus daripada jumlah itu adalah syarikat PKS yang mula mengeksport produk mereka ke pasaran asing terutama ASEAN.

    “Sempena Hari Terbuka AEC ini, kami memberi peluang kepada PKS di bawah PanPages untuk menyertai pelbagai aktiviti panduan ke pasaran asing seperti perbincangan topik sokongan kewangan dalam perniagaan dan cabaran eksport.

    “PanPages juga melihat antara beberapa perkara yang menjadikan PKS kita kurang ke ASEAN disebabkan faktor sukar berkomunikasi dan memahami pasaran asing. Menerusi program ini, kami akan membantu mereka dengan menyediakan jurubahasa serta panduan mengenali permintaan perniagaan di ASEAN kerana kami mempunyai pengalaman yang luas di rantau ini,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Eksport Malaysia Naik 8.21 Peratus Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top