My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 12 July 2017

    Tujuh Tahun Bangun Watak Sansa


    Selepas setahun menamatkan siarannya, siri televisyen popular Game of Thrones (GOT) musim ketujuh kembali meneruskan kisah tujuh kerajaan di Westeros serta benua Essos. Musim dinanti-nantikan peminat seluruh dunia ini disiarkan di Asia pada waktu sama dengan Amerika Syarikat menerusi saluran HBO, 17 Julai ini, jam 9 pagi. 

    Berbeza dengan musim lalu, GOT kali ini hanya diketengahkan dalam tujuh episod dan sebahagian besar kisahnya tidak ada dalam siri novel A Song of Ice ciptaan George R R Martin. Dalam episod akhir GOT musim keenam, Sansa Stark menyaksikan abang tirinya, Jon Snow diangkat sebagai Raja Utara baru oleh barisan pemimpin Winterfell.

    Berkongsi pengalamannya kembali menjayakan GOT, Sophie Turner yang membintangi watak Sansa berkata, penggambaran musim ketujuh berbeza kerana membabitkan banyak babak penuh emosi. “Lakonan kali ini lebih menyeronokkan, cuma situasinya berbeza dengan musim lalu. Ini kerana saya seakan-akan dapat berasakan kisah ini semakin hampir ke penghujungnya,” katanya.

    Membintangi GOT sejak remaja, Sophie bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk membintangi watak sama selama tujuh tahun. “Tempoh ini cukup lama untuk membolehkan saya mengembangkan lagi watak Sansa. Berbanding berlakon dalam filem, pelakon hanya diberi tempoh kira-kira sebulan untuk membuat persiapan.

     “Namun bagi siri televisyen, saya dapat mendalami karakter serta membangunkan watak. Peluang ini sememangnya diidamkan setiap pelakon. Saya pasti rindu menjadi Sansa apabila GOT melabuhkan tirainya nanti,” katanya.

    Bercerita lanjut mengenai GOT, pelakon berusia 21 tahun ini memberitahu skrip diterimanya pada setiap musim pasti menyelit beberapa kejutan mengenai Sansa. “Kejutan paling menarik ialah musim lalu iaitu apabila Sansa terfikir sama ada dia memberontak sehingga tindakannya itu akan menjejaskan orang disayangi.

    “Memang seronok melihat bagaimana Sansa menguji kuasa yang dimilikinya,” katanya. Dalam temu bual berasingan, Isaac Hempstead Wright yang tampil sebagai Bran Stark turut berkongsi pengalaman menjadi remaja lumpuh sejak kanak-kanak yang kini memiliki kuasa luar biasa.

    “Saya perlu menunjukkan Stark mempunyai aura misteri yang tidak mempunyai emosi serta jiwa. Pada masa sama, saya tidak mahu penonton rasa bosan dengan karakter Stark,” katanya.

    Menurutnya, pencipta GOT, David Benioff dan Dan Weiss meminta dia membaca komik Watchmen untuk mendapat ilham menzahirkan watak Stark. “Ketika penggambaran, saya turut mendengar pandangan pelakon lain. Saya juga memikirkan kembali kejadian musim lalu,” katanya.

    Musim baru kisah fantasi ini menyaksikan Daenerys Targaryen lakonan Emilia Clarke memimpin tenteranya menuju Westeros. Turut mengiringi Daenerys adalah Tyrion Lannister sebagai penasihat baru ratu itu. Dengan Jon Snow sebagai Raja Utara selepas menewaskan Ramsay Bolton, sekali gus mengembalikan semula Winterfell kepada keluarga Stark.

    Sementara itu di King’s Landing, Cersei Lannister berjaya menawan takhta Iron Throne selepas menghapuskan High Sparrow dan pengikutnya.

    Antara barisan pelakon yang kembali beraksi dalam siri ini ialah Peter Dinklage, Nikolaj Coster-Waldau, Lena Headey, Aidan Gillen, Kit Harington, Diana Rigg, Sophie Turner dan Maisie Williams. Selain itu, hadir beberapa wajah baru yang memeriahkan lagi siri ini antaranya penyanyi Ed Sheeran, Jim Broadbent, Tom Hopper dan Megan Parkinson.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Tujuh Tahun Bangun Watak Sansa Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top