Obesiti dan kegemukan adalah penyakit yang melanda banyak negara di dunia terutama negara maju dan makmur. Malaysia tidak terkecuali dalam masalah ini dengan sebab utama masalah berlaku adalah kerana pengambilan makanan yang terlalu berlebihan. Ia turut diburukkan lagi oleh kecenderungan terhadap makanan manis sejak usia muda lagi.
Baru-baru ini, Asia Roundtable on Food Innovation for Improved Nutrition (ARoFIIN) mengeluarkan laporan terbaru bertajuk Menangani Obesiti di Asia Tenggara: Kadar, Impak dan Panduan Campur Tangan bagi menggesa pihak berkuasa kesihatan menggandakan usaha dalam menangani masalah obesiti untuk mengurangkan beban terhadap sistem penjagaan kesihatan.
Dalam laporan dihasilkan Economist Intelligence Unit (EIU) yang pertama menjalankan analisis terperinci ke atas impak ekonomi obesiti terhadap Asia Tenggara, mendapati bilangan obes di Malaysia adalah lebih ramai berbanding negara lain dalam rantau berkenaan.
Enam negara dikaji dalam laporan berkenaan membabitkan Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina dan Vietnam. Hasil kajian mendapati negara kita memiliki kadar obesiti dan kegemukan tertinggi iaitu masing-masing 13.3 peratus dan 38.5 peratus. Masalah ini menelan 10 hingga 19 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan penjagaan kesihatan di Malaysia.
Ini menjadikan Malaysia mempunyai perbelanjaan terbesar di Asia Tenggara bagi masalah yang berkait dengan obesiti. Indonesia turut terkesan dengan masalah obesiti apabila mengeluarkan perbelanjaan negara sebanyak lapan hingga 16 peratus daripada jumlah perbelanjaan kesihatan negara berkenaan.
Singapura pula adalah ketiga terbesar mengeluarkan perbelanjaan negara untuk menangani beban akibat obesiti membabitkan tiga hingga 10 peratus perbelanjaan penjagaan kesihatan negara. Perbelanjaan menampung beban obesiti paling rendah di Vietnam membabitkan kos satu hingga tiga peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kesihatan negara itu.
Selain kos, masalah yang berkaitan dengan obesiti mempunyai implikasi yang besar. Berdasarkan laporan itu, obesiti mengurangkan tahun produktif dengan purata antara empat hingga sembilan tahun di keenam-enam negara.
Malaysia mengalami kerugian tahun produktif yang terbesar akibat obesiti dalam kalangan perempuan berusia antara tujuh hingga 12 tahun dan juga kerugian tahun produktif kedua terbesar akibat obesiti bagi lelaki berusia antara enam hingga 11 tahun.
Ketika obesiti meningkatkan risiko penyakit tidak berjangkit (NCD), negara ini terus menanggung beban yang berat berikutan NCD menjadi punca bagi tiga daripada setiap empat kematian. Malah, segelintir golongan dewasa didapati mengalami masalah diabetes dan darah tinggi yang tidak didiagnosis.
Kurang senaman, kualiti pemakanan yang rendah, faktor budaya dan kesedaran yang rendah mengenai obesiti dikatakan sebagai punca utama masalah berat badan ini di Malaysia. Kajian Pemakanan Orang Dewasa Malaysia melaporkan hanya satu pertiga golongan dewasa pernah bersenam, manakala hanya 14 peratus yang melakukan senaman yang mencukupi.
Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pula mendapati bahawa 92.5 peratus dewasa berusia 18 tahun ke atas mengambil kurang daripada lima bahagian buah-buahan dan sayuran dalam sehari. Faktor budaya seperti sikap gemar makan dalam kalangan rakyat Malaysia, di samping budaya menjamu tetamu dengan makanan turut menyumbang kepada masalah obesiti.
Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia, Dr Tee E Siong berkata, penekanan yang tinggi terhadap kecemerlangan akademik pelajar termasuk kanak-kanak menyebabkan waktu kelas tambahan yang panjang dan kerja rumah yang banyak sehingga menjejaskan waktu untuk mereka menjalani pendidikan jasmani.
Lebih kritikal apabila kurang kesedaran dan pendapat umum rakyat Malaysia sendiri yang menganggap bahawa obesiti adalah masalah kosmetik dan bukan masalah kesihatan turut menyumbang kepada permasalahan ini kerana ramai gagal melihat hubungan antara obesiti dengan NCD.
“Adalah penting untuk mengambil langkah yang perlu untuk menggalakkan aktiviti fizikal di sekolah dan institusi pendidikan lain. Kanak-kanak hari ini dilihat lebih gemar meluangkan masa senggang dengan menghadap skrin (gajet dan komputer) berbanding menjalani aktiviti fizikal di luar rumah.
“Sektor pendidikan mesti agresif dalam memastikan pelaksanaan aktiviti fizikal seperti yang termaktub dalam kurikulum dipatuhi. Ini kerana, kunci untuk melawan obesiti adalah disiplin dalam pengambilan makanan dan senaman,” katanya pada pelancaran kajian berkenaan di ibu negara.
Katanya, pendidikan yang mampan juga kaedah terbaik untuk menentang kadar obesiti dengan mendidik ibu bapa dan institusi pendidikan secara berterusan dan dalam cara yang membina mengenai punca dan akibat obesiti.
Mengenai impak obesiti yang berkaitan dengan kelas sosioekonomi negara ini, Dr Tee berkata, perlu ada tanggungjawab untuk mendidik golongan berpendapatan rendah mengenai punca dan akibat obesiti dan bukan setakat menghulur sumber kewangan dan biarkan mereka menangani sendiri masalah kesihatan dihadapi.
“Tanpa ilmu yang betul, mereka akan membelanjakan bantuan kewangan yang diberikan terhadap keperluan lain yang difikirkan lebih utama seperti makanan dengan kandungan gula tinggi atau makanan proses yang mampu beli kerana lebih menjimatkan.
“Kerajaan perlu memberi sokongan sebaik-baiknya dengan memastikan produk makanan yang sihat seperti sayuran dan buah-buahan mudah diperoleh serta dijual pada harga berpatutan kepada semua kelas sosioekonomi,” katanya.
Laporan ARoFIIN turut menekankan campur tangan efektif dalam langkah mengurangkan obesiti iaitu mengamalkan pemakanan rendah glisemia, rendah kalori, rendah lemak dan rendah karbohidrat serta senaman yang kerap. Kebelakangan ini di Malaysia banyak inisiatif yang menyasarkan untuk meningkatkan kualiti pemakanan seperti penganjuran Bulan Pemakanan yang diadakan setiap tahun.
Usaha ini bermatlamat untuk menggalakkan persekitaran pemakanan sihat bagi mencapai kesejahteraan menyeluruh. Malah, Institut Jantung Negara (IJN) turut mengadakan program penyediaan makanan sihat menerusi kelas masakan.
Selain itu, kerajaan melancarkan Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan III mulai tahun lalu sehingga 2025 untuk menggalakkan tabiat pemakanan yang lebih sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.
Penyelidik dalam laporan ARoFIIN turut mencadangkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengenal pasti kawasan spesifik yang bermasalah supaya agensinya boleh memperkenalkan inisiatif untuk meningkatkan tahap aktiviti fizikal.
Dalam industri, pengeluar makanan antarabangsa terus-menerus berinovasi untuk menawarkan produk makanan yang lebih sihat dan mampu milik yang diperkaya dengan mineral dan mempunyai kadar garam, gula dan lemak yang rendah.
Sehubungan itu, ARoFIIN berharap dapat meluaskan usaha pihak industri berkenaan dengan menjalin kerjasama antara perusahaan kecil dan sederhana di Asia Tenggara supaya mereka dapat melakukan tindakan yang sama pada masa depan.
Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi EIU, Dr Simon Baptist berkata, kajian ini adalah kali pertama analisis terperinci terhadap impak obesiti dijalankan dan pihaknya berharap ia dapat meningkatkan pemahaman mengenai bahaya obesiti di Asia Tenggara.
“Laporan ini menunjukkan kadar obesiti mempunyai jurang perbezaan yang besar bergantung pada perbezaan ekonomi, daerah, genetik dan etnik. Kajian turut menekankan kepentingan strategi pencegahan obesiti yang dikhususkan, berbanding pendekatan satu untuk semua.
“Dapatan kajian boleh dijadikan panduan bagi pembuat dasar, organisasi kesihatan dan industri dalam usaha mereka menangani peningkatan kadar obesiti yang membimbangkan di kawasan masing-masing.
“Mengambil masa untuk mengenal pasti komuniti yang berisiko membolehkan penghasilan dasar yang lebih bijak dan campur tangan yang lebih teliti. Oleh itu, pencegahan obesiti dapat menjimatkan sumber dalam sistem penjagaan kesihatan kebangsaan dan menyalurkan dana kepada perkara lain yang lebih memerlukan,” katanya.
Waspada makan pada musim perayaan
Sudah menjadi amalan rakyat negara ini apabila penganjuran rumah terbuka menjadi kemestian bagi setiap perayaan utama seperti Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baru Cina dan Krismas. Aidilfitri misalnya disambut meriah setiap tahun oleh semua kaum di negara ini tanpa mengira agama dan keturunan.
Rata-rata masyarakat Melayu akan mengadakan rumah terbuka bagi meraikan tetamu dekat dan jauh. Pelbagai juadah yang sedap lagi enak disediakan bagi menjamu tetamu. Semuanya akan nampak sangat menyelerakan tambah lagi bila makan beramai-ramai.
Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia, Dr Tee E Siong berkata, di Malaysia yang mempunyai begitu banyak perayaan menyebabkan rakyatnya terdedah kepada risiko obesiti berikutan ketika musim perayaan mereka akan makan secara berlebihan.
“Sesiapa saja boleh mengalami kenaikan berat badan ketika musim perayaan akibat tidak mengawal kuantiti makanan yang diambil terutama ketika mengunjungi rumah terbuka. Pelbagai menu berkenaan boleh menyebabkan kita tidak dapat mengawal nafsu makan dan akan makan dengan banyak. Dalam tidak sedar keadaan ini boleh mencetus kepada tabiat pemakanan yang buruk.
“Dalam satu hari mungkin ada lebih satu jemputan rumah terbuka dan setiap rumah kita akan makan banyak, susulan itu berat badan mungkin naik dua atau tiga kilogram. Berat badan kekal meningkat jika kita sendiri yang tidak bersenam atau melakukan aktiviti fizikal,” katanya.
Katanya, rakyat Malaysia disarankan supaya berwaspada dalam pengambilan makanan dalam musim perayaan ini bagi mengelakkan daripada masalah obesiti yang menjadi masalah utama negara.
“Mereka dinasihatkan supaya sedar diri mengenai amalan pemakanan setiap kali musim perayaan bagi mengelak membentuk tabiat pemakanan yang buruk. Saya syorkan rakyat supaya berhati-hati dengan kuantiti makanan yang diambil dan berhemat setiap kali menjamu selera.
“Kurangkan makanan bergoreng dan berlemak, sebaliknya ambil lebih banyak buah-buahan dan sayuran. Begitu juga minuman, elakkan mengambil air dengan kandungan gula yang tinggi dan banyak minum air kosong.
“Seimbangkan pemakanan yang diambil dengan melakukan senaman yang sepatutnya untuk meningkatkan proses metabolisme dan penghadaman yang sihat. Semua ini memerlukan disiplin kerana ia kunci utama dalam penjagaan kesihatan. Tanpa disiplin, pasti hasilnya tidak seperti yang diharapkan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment