Tropicana Corporation Berhad (Tropicana), pemaju hartanah tempatan optimis projek pembangunan hartanahnya iaitu Tropicana Metropark di Subang Jaya terus menarik minat orang ramai berdasarkan kelebihan dari aspek lokasi, gaya hidup dan potensi nilainya.
Pengarah Eksekutif Pemasaran dan Jualannya, Ung Lay Ting berkata, keyakinan itu dipacu melalui peningkatan populasi dan pengembangan kumpulan pendapatan sederhana yang akan melonjakkan permintaan bagi hartanah kediaman.
“Sehingga kini, pelan bersepadu utama Tropicana Metropark berjaya menarik kebanyakan keluarga dan eksekutif muda di Lembah Klang dan projek ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan,” katanya, di sini.
Tropicana Metropark adalah projek pembangunan bercampur di tanah pegangan bebas seluas 35.61 hektar membabitkan hartanah kediaman dan komersial, sekolah antarabangsa dan pusat perubatan. Projek yang mula diperkenalkan pada 2012 dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM7.2 bilion akan dibangunkan dalam 10 fasa dan dijangka lengkap sepenuhnya menjelang 2023.
Antara kemudahan yang ditawarkan adalah taman dikenali Central Park yang mempunyai terusan sepanjang 750 meter dan dilengkapi sistem biofiltrasi, trek berbasikal dan joging serta laluan persiaran yang berhadapan dengan fasa komersial.
Konsep rekaan Tropicana Metropark diinspirasikan daripada bandar idaman ramai dan paling sesuai diduduki di dunia iaitu Melbourne dan Sungai Yarra dengan pengaruh holistik bertujuan bagi memenuhi permintaan pasaran terhadap kawasan perbandaran yang baik.
Beliau berkata, Tropicana memperuntukkan RM106 juta bagi membina jambatan khas yang dijangka siap tahun ini untuk menghubungkan Lebuhraya Persekutuan ke pintu utama Tropicana Metropark, sekali gus menyediakan akses lebih mudah ke projek terbabit.
Menurutnya, Sekolah Antarabangsa GEMS di Tropicana Metropark akan dibuka pada September ini di mana kampus sekolah dengan keluasan 210,000 kaki persegi di tanah seluas dua hektar itu mampu menampung 2,400 pelajar.
Mengulas lanjut projek di Tropicana Metropark, Ung berkata, kedua-dua fasa projek kediamannya iaitu Pandora (fasa pertama) dan Paloma (fasa kedua) sudah habis dijual sejak ia dilancarkan pada Mei dan November 2013.
Menurutnya, Tropicana baru saja melancarkan projek fasa ketiga iaitu Paisley di mana ia adalah kediaman terdiri daripada dua menara dengan Menara A menawarkan 329 unit manakala Menara B menawarkan 258 unit.
“Projek dengan GDV RM479 juta ini menawarkan tiga jenis unit kediaman iaitu 1+1 bilik tidur, 2+1 bilik tidur, dan 3+1 bilik tidur dengan saiz binaan antara 601 hingga 1,491 kaki persegi pada harga bermula dari RM750 sekaki persegi,” katanya.
Beliau berkata, harga jualan bagi unit 1+1 bilik tidur bermula pada RM528,000, 2+1 bilik tidur (RM718,000) dan 3+1 bilik tidur (RM1.063 juta) manakala unit ‘dual key’ RM1.12 juta ke atas. Menurutnya, pembeli berpeluang menikmati 40 kemudahan bertema resort termasuk tiga teres eksklusif, gimnasium berbilang tingkat dan kolam renang bersaiz Olimpik.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh mengunjungi galeri hartanah Tropicana Metropark dan rumah contoh Paisley di Subang Jaya yang dibuka pada setiap hari bermula jam 9.30 pagi hingga 6.30 petang. Mereka juga boleh melayari laman web Tropicana Metropark di www.tropicanametropark.com. my.
0 comments:
Post a Comment