HASRAT Nelo Vingada untuk mencatat kemenangan sulung sejak menjadi ketua jurulatih skuad kebangsaan tidak menjadi kenyataan apabila mencatat keputusan seri 1-1 ketika bertemu dengan Hong Kong dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hang Jebat, Melaka malam tadi.
Lebih mengejutkan, kejayaan Malaysia meraih mata pertama dicemari aksi kotroversi selepas pengadil berpengalaman dari Australia, Christopher Beath melayangkan kad merah kepada dua pemain negara, Mohd. Rizal Ghazali dan Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak ketika saingan berada di penghujung perlawanan.
Pada saingan tersebut, skuad negara memiliki beberapa peluang terbaik pada babak pertama untuk meledak gol pembukaan tetapi barisan serangan yang diketuai oleh Darren Lok gagal menemui sasaran untuk menewaskan penjaga gol yang juga kapten pasukan Hong Kong, Yapp Hung Fai.
Pasukan pelawat turut mempunyai peluang terbaik tetapi percubaan pemain naturalisasi lawan seperti Sandro dan Itaparica berjaya diselamatkan oleh penjaga gawang negara, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy untuk memastikan separuh masa pertama berakhir dengan keputusan 0-0.
Tersentak dengan aksi ‘yo-yo’ skuad negara, Vingada mengubah taktikal dengan mengarahkan barisan pemainnya beraksi dengan lebih agresif pada babak kedua dan berjaya meraih peluang terbaik menerusi hantaran Syazwan Zainon tetapi dipersia-siakan oleh Baddrol Bakhtiar pada minit ke-49.
Kegagalan tersebut menyaksikan pasukan Harimau Malaya terleka seketika sehingga membolehkan Hong Kong menjaringkan gol pertama menerusi Sandro pada minit ke-51 hasil hantaran Jaimes McKee.
Bagaimanapun, kelebihan yang dimiliki Hong Kong tidak bertahan lama apabila tempias rembatan ketua pasukan, Mohd. Safiq Rahim berjaya disudahkan oleh Syazwan untuk meledak gol penyamaan berselang lima minit kemudian.
Aksi bertambah panas ketika saingan menghampiri minit-minit akhir perlawanan apabila Beath melayangkan kad merah kepada Rizal dan Aidil sebelum menghadiahkan sepakan penalti kepada Hong Kong.
Namun, sepakan penalti yang diambil oleh Sandro berjaya ditepis oleh Hafizul Hakim untuk memastikan satu mata kekal menjadi milik Malaysia.
“Kami sepatutnya meraih tiga mata penuh berdasarkan rentetan peluang terhidang yang kami miliki. Barisan pemain saya juga berjaya mendominasi perlawanan sepanjang tempoh 90 minit untuk bersaing dengan Hong Kong yang memiliki pemain naturalisasi berkualiti,” kata Vingada selepas tamat perlawanan semalam.
Keputusan tersebut meletakkan Harimau Malaya kekal di tangga tercorot Kumpulan B dan bakal membuat perhitungan Korea Utara pada 5 Oktober depan.
0 comments:
Post a Comment