My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 17 May 2016

    Tribute Untuk Seorang Sahabat - Khairul Aidil



    Masih jelas diingatan bagaimana satu hubungan persahabatan terjalin antara penulis dengan seorang penggiat internet yang hanya mahu dikenali sebagai KTM Duke. Pada awalnya, kami selalu "berperang" dalam satu posting bersama-sama beberapa orang rakan yang lain seperti Yusman Zahari Zakaria, Imail Rosli, Dinda Alin dan ramai lagi.

    Entah dari mana datangnya, secara tiba-tiba dia muncul dan begitu hebat mengasak pihak pembangkang dengan komen-komen pedasnya. Kadang kala, kami bersama-sama sehingga jam dua tiga pagi "bertempur" dalam satu posting terutamanya dalam satu grup politik di laman sosial Facebook, Pejuang-Pejuang Tegar UMNO (PPTU), sebelum ianya digodam oleh pihak yang tidak dikenali.

    Bermula dari situlah, kami selalu berhubung melalui personal chat di laman sosial Facebook sebelum ianya berlarutan sehingga ke laman sosial Whatsapp. Beberapa kumpulan kami sertai dan sikap dan kerenah gila-gilanya benar-benar mencuit hati siapa sahaja yang mengenalinya. Menariknya, sepanjang setahun kami semua berhubung dengannya, sekalipun kami tidak pernah berjumpa.

    Kenapa dia memilih nama KTM Duke? Ini adalah kerana azamnya yang mahu membeli sebuah motosikal KTM Duke menjelang umurnya yang 35 tahun. Ketaksubannya terhadap KTM Duke memang terbukti apabila dengan hanya mendengar deruan ekzos motosikal ini sahaj sudah cukup untuk dia mengetahui jenis apakah motosikal KTM Duke yang melintas.

    Lebih melucukan, kami langsung tidak tahu dimana dia tinggal, apa kerjanya, melainkan beberapa keping gambar dia yang suka sangat tidak berbaju dihantar ke grup Whatsapp kami. Itulah KTM Duke yang kami kenali sehinggalah dia sendiri muncul dihadapan rumah penulis sewaktu Hari Raya Aidilfitri, dua tahun yang lalu.

    Bagi keluarga penulis, tidak pernah menjadi masalah setiap kali dia muncul, entah dari mana. Layanan kami sentiasa sama malah anak-anak pun dah mengenali "uncle bibir tebal" ini setiap kali dia muncul.

    Disinilah kami berkenalan dengan lebih rapat dan disinilah baru penulis tahu bahawa dia cuma bekerja di kilang kertas di Kuala Kubu Bharu dan tinggal di sana sejak sekian lama. Masih penulis ingat bagaimana dia sanggup memanjat pokok rambutan untuk dibekalkan kepada penulis semasa penulis sempat singgah kerumahnya, dua tahun yang lalu.

    Tiada siapa menyangka, bagaimana dia menemui jodohnya di Pagoh dan paling tidak dapat dilupakan, semua rakan Facebook yang rapat dengannya seperti Yusman, Ashikin Yunos dan penulis sendiri menjadi wakil bagi pihaknya meminang gadis pilihannya. Untuk makluman, dia adalah anak yatim dan hanya mempunyai seorang kakak yang uzur di Negeri Sembilan.

    Sejak dari hari itulah hubungan kami semakin erat dan dia akan muncul secara tiba-tiba di rumah penulis pada bila-bila masa yang dia suka. Antara paling diingati, bagaimana dia tidak begitu sihat untuk bekerja di Kencana Petrolium, Manjong, disaat wang gajinya masih belum diperolehi. Jam 8 malam, dia menghubungi penulis melalui telefon awam untuk meminjam RM 10 untuk makan pada hari berkenaan.

    Kali terakhir dia mengunjungi rumah penulis adalah pada jam 9 malam, pada bulan Januari yang lalu. Kehadiran dia kali ini memang agak pelik. Sebaik memasuki rumah penulis, dia sibuk bercerita tentang kerisauannya tentang tunangnya dan sepatutnya majlis pernikahannya dilangsungkan pada bulan berkenaan.

    Dia bimbang, dia dituduh memainkan perasaan perempuan dan beriya-iya mengajak penulis bersama-sama Yusman untuk menemaninya ke Pagoh pada hujung bulan Januari bagi membincangkan semula tentang masalah ini.

    Pada keesokan paginya, sewaktu menghantarnya ke stesen komuter, erat benar genggamannya sewaktu bersalam. Tidak pernah sepanjang perkenalan penulis dengannya, penulis dapat melihat air matanya tumpah sewaktu berpisah. Kebiasaannya, samada saling sepak menyepak atau kutuk mengutuk sudah menjadi kelaziman. Namun kali ini sayu benar wajahnya sewaktu melangkah pergi.

    Nyata, takdir Allah menentukan segalanya. Tepat jam 8.30 malam, tunangnya menalifon penulis memberitahu, KTM Duke @ Pemburu Sniper @ Yuzuri Yokimuri @ Khairul Aidil telah menemui penciptanya. Dia dikatakan jatuh di bilik air tempat kerjanya di Johor dan mayatnya hanya ditemui kira-kira 4 jam setelah dia pergi untuk selama-lamanya.

    gambar kucing yang berjaya dia selamatkan
    Dia dikatakan mengalami sakit gigi sejak beberapa hari sebelum itu dan dia dikatakan mahu mengumur mulutnya dengan air garam sebagai usaha untuk mengurangkan kesakitannya.

    Diakhir hayatnya, dia cukup beriya-iya sangat dia mahu membela kucing. Malah dia sanggup berlapar hanya kerana kucing-kucing belaannya. Katanya, andai tiada manusia yang menyayanginya nanti, dia harap, kucing-kucing dapat mendoakan kesejahteraan dia dunia dan akhirat.

    Tidak akan dapat penulis lupa tarikh 9 April 2016 dimana seorang kawan, sahabat dan adik telah pergi untuk selama-lamanya. Apa yang tinggal kini, hanyalah kenangan kita selama 5 tahun dan kami menjadi saksi, jatuh bangun, sakit pening dan sedih gembira kau Duke.

    Al Fatihah untukmu kawan, sahabat dan adik, Khairul Aidil @ KTM Duke @ Pemburu Sniper @ Yuzuri Yokimuri. Kini hanya gambar-gambar kau melalu Facebook sahajalah sebagai tanda dan ingatan kami semua kepada kau.......
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Tribute Untuk Seorang Sahabat - Khairul Aidil Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top