Revolusi penggunaan telefon pintar telah berlaku dengan pantas dan syarikat pengeluar juga dilihat berlumba-lumba menjadi perintis kepada teknologi yang memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna.
Jika memandang dari sudut kelebihannya, konsumer atau pengguna sudah pasti dapat membuat keputusan dan perbandingan sebelum membeli telefon pintar yang terbaik bagi mereka.
Bagi syarikat pengeluar telefon pintar yang semakin menguasai pasaran dunia, Huawei Technologies Ltd (Huawei), pihaknya tidak ketinggalan memberi tumpuan terhadap penyelidikan dan pembangunan (R&D) telefon pintar terbaharu untuk memenuhi permintaan pasaran.
Memahami keperluan pelbagai peringkat konsumer, Huawei yang kini memegang ‘ranking’ ketiga pengeluar telefon pintar terbesar pilihan di dunia, semakin mengorak langkah mengikut rentak jenama terkemuka telefon pintar lain.
Tiada siapa menjangkakan, jenama seperti Huawei mampu menghasilkan telefon pintar mempunyai kualiti terbaik yang mampu menembusi pasaran global yang semakin sengit pada masa ini.
Kebangkitan Huawei sebagai jenama telekomunikasi dari China tidak membataskan syarikat itu untuk terus berada di landasan betul dengan memiliki teknologi sendiri dan berjaya menguasai pasaran negara maju termasuk Amerika Syarikat, Eropah Barat, Singapura, Rusia dan Brazil.
Huawei menyaksikan perkembangan yang sangat memberangsangkan sepanjang tahun 2015 apabila berjaya meningkatkan kedudukan penguasaan pasaran telefon pintar dunia kepada 8.4 peratus berbanding 6.2 peratus yang direkodkan pada 2014.
Ini sekali gus melonjakkan Huawei pada kedudukan ketiga selepas Samsung dan Apple dan mendahului syarikat dari China yang lain. Huawei tidak menoleh ke belakang lagi dan memberi ‘buah tangan’ terbaharu kepada pengguna menerusi telefon pintar Huawei P9 dan P9 plus yang lengkap untuk bersaing dalam kelas premiumnya.
Tiada siapa yang boleh menjangkakan dengan hanya menggunakan kamera di telefon pintar, pengguna mampu memperoleh gambar seperti merakam detik itu menggunakan kamera Digital Lensa Tunggal Refleks (DSLR).
Usaha Huawei menjalin kerjasama dengan Leica yang menjadi pengeluar kamera premium ternyata membuahkan hasil apabila generasi siri-P iaitu P9 hadir dengan dwikamera berjenama Leica. Tahun lalu, Huawei P8 menerima pujian ramai berikutan rekaan premiumnya.
Gergasi telekomunikasi dari China ini meneruskan tradisi mereka melalui pengenalan Huawei P9 pula. Huawei P9 hadir dengan rekaan yang mengekalkan elemen keluarga peranti Huawei lain dan memberi tiga fokus auto hibrid kamera yang mampu merakam gambar lebih cepat dan tidak kabur.
Huawei telah membawa pengalaman profesional fotografi dalam telefon pintar P9 bagi memberi rakaman seni gambar yang lebih hidup. Penggunaan dwikamera pada bahagian belakangnya membuatkan Huawei P9 dapat menawarkan kualiti rakaman gambar yang cantik melalui kamera telefon pintar pada pelbagai keadaan cahaya dan resolusi terbaik.
Selain itu, kejuruteraan Leica digunakan dalam algoritma yang menggabungkan kedua-dua lensa warna dan monokrom, menjadikan gambar lebih menawan dan boleh mengambil gambar rendah cahaya dengan lebih baik melalui saiz piksel sebesar 1.25 mikron.
Jika dilihat dari segi reka bentuk dan luarannya, telefon pintar baharu Huawei ini kelihatan begitu mewah dan elegan sehingga mampu meninggalkan kesan terhadap jenama China yang dikenali dengan kualiti kurang baik.
Namun, cubaan pertama Huawei dengan Leica ini dijangka menjadi pemacu kepada kumpulan untuk terus bertapak dalam pasaran ini dan memberi gambaran baru dalam generasi keluaran telefon pintar dari China.
Presiden Kumpulan Huawei Konsumer dan Bisnes Rantau Pasifik Selatan, Peter Tong berkata, Huawei mencatatkan pendapatan AS$60 bilion bagi perniagaan konsumer, perusahaan dan pembawa pada tahun lalu. “Pendapatan itu menyaksikan peningkatan sebanyak 37 peratus berbanding tahun lalu dan sejak enam bulan lalu, Huawei menerima 25 kali ganda sentimen positif.
“Huawei juga memperuntukkan AS$37 bilion bagi R&D dalam tempoh 10 tahun lalu dan kini, kami tampil dengan menawarkan lebih banyak pilihan telefon pintar yang mengetengahkan pelbagai pencapaian teknologi yang tersendiri dalam kategorinya,” katanya di majlis pelancaran jenama baharu Huawei, P9 di Bali, Indonesia, baru-baru ini.
0 comments:
Post a Comment