My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 20 May 2016

    Pesawat EgyptAir Disahkan Telah Terhempas



    Pihak berkuasa melibatkan beberapa buah negara kini dalam misi mencari pesawat EgyptAir MS804 yang hilang daripada radar semasa terbang di Laut Mediterranean semalam. Pesawat Airbus A320 yang dibina pada 2003 itu dalam perjalanan dari Paris, Pe­rancis ke Kaherah dengan membawa 66 penumpang termasuk tujuh anak kapal dan tiga pegawai keselamatan.

    Presiden Perancis, Francois Hollande dalam satu kenyataan berkata, pesawat itu telah terhempas, bagaimanapun Perdana Menteri Mesir, Sherif Ismail berkata, misi mencari masih gagal menemui bangkai pesawat. Hollande dalam ucapan di televisyen berkata, “kita perlu pastikan bahawa kita tahu segala-galanya yang menjadi punca kejadian ini. Kami tidak menolak sebarang andaian.

    “Sama ada itu kemalangan atau andaian lain yang bermain di minda semua iaitu melibatkan pengganas, pada peringkat ini, kita mesti fokus terhadap solidariti bersama keluarga mangsa dan pencarian.”

    Pesawat itu dipercayai terhempas di Laut Mediterranean antara Greece dan pesisir pantai Mesir. Daripada jumlah penumpang, 30 orang terdiri daripada rakyat Mesir, Pe­rancis (15) dan Iraq (dua). Selain itu, terdapat masing-masing seorang warga Algeria, Belgium, Britain, Chad, Portugal, Arab Saudi, Sudan dan Kanada berada dalam pesawat malang itu, me­nurut syarikat EgyptAir. 

    Difahamkan juga, terdapat seorang kanak-kanak dan dua bayi dalam pesawat MS804. EgyptAir menerusi laman Twitter menyatakan penerbangan MS804 me­ninggalkan Paris pada pukul 11.09 malam (waktu tempatan) menuju ke Kaherah.

    Komunikasi bersama pesawat itu terputus pada pukul 2.45 pagi waktu Kaherah ketika kapal terbang itu berada dalam ruang udara Mesir pada ketinggian 11,000 meter. Syarikat penerbangan itu turut mengesahkan hubungan bersama pesawat itu terputus kira-kira 280 kilo­meter utara pesisir pantai Mesir.

    Naib Presiden EgyptAir Holding, Ahmed Adel memberitahu, tiada sebarang panggilan kecemasan diterima sebelum pesawat itu hilang. Bagaimanapun, syarikat penerbangan itu kemudian menyatakan pesawat itu ada menghantar mesej kecemasan yang berjaya dikesan pihak tentera.

    Pada 31 Oktober lalu, pesawat A321 milik sebuah syarikat Rusia, Metrojet meletup ketika dalam perjalanan dari Sharm el-Sheikh, Mesir ke St. Petersburg, Rusia menyebabkan seramai 224 penumpang dan anak kapal terbunuh. Kumpulan Islamic State mengaku bertanggungjawab meletupkan pesawat itu meskipun tidak dapat disahkan kebenarannya.

    Dalam perkembangan yang sama, beberapa pakar berpendapat misteri kehilangan pesawat EgyptAir yang dalam perjalanan dari Paris ke Kaherah mungkin mempunyai kaitan dengan serangan pengganas.

    Teori itu disandarkan dengan alasan Perancis dan Mesir merupakan dua negara yang menjadi tumpuan serangan militan sejak beberapa bulan lalu. Malah mereka berpendapat, faktor kerosakan mekanikal mungkin tidak menjadi punca utama kehilangan pesawat terbabit.

    “Kerosakan teknikal yang besar seperti letupan motor sebagai faktor kemungkinan sukar untuk diterima akal,” kata pakar aeronautik, Gerard Feldzer. Bagi beliau, pesawat Airbus model A320 yang mula digunakan pada 2003 itu mempunyai rekod ke­selamatan cemerlang selain menjadi pesawat saiz sederhana yang mempunyai jualan terbaik.

    Feldzer mengganggarkan, dalam setiap 30 saat, sebuah pesawat jenis A320 akan berlepas dan mendarat di lapangan terbang di seluruh dunia.

    Turut senada dengan Feldzer ialah Bekas Pengarah Penyiasatan dan Analisis Penerbangan Perancis, Jean-Paul Troadec apabila menyatakan masalah teknikal, kebakaran atau kerosakan motor tidak akan mengakibatkan berlakunya kemalangan serta-merta.

    “Hal ini kerana jika berlaku, anak kapal mempunyai masa untuk bertindak. Dalam kes ini, mereka tidak menyatakan apa-apa. “Soal tahap penyelenggaraan dan kualiti kapal terbang pula bukan persoalan utama dalam kejadian ini,” katanya kepada stesen radio Europe 1.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Pesawat EgyptAir Disahkan Telah Terhempas Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top