Tanpa sedar, masa depan manusia kini bergantung kepada penggunaan teknologi yang memasuki fasa penggunaan Internet untuk segalanya (IoT) menjadi nadi kepada kehidupan. Dalam persidangan Google I/O di Amerika Syarikat, baru-baru ini, beberapa ciri baru teknologi mula dipertontonkan bukan saja merangkumi hiburan tetapi merangkumi perkakasan rumah dan aksesori peribadi.
Bermula dengan projek Google Cardboard dua tahun lalu, kini Google mahukan industri realiti maya (VR) berkembang lebih pesat. Oleh itu, mereka mempamerkan Daydream, direka untuk kegunaan VR yang diperkenalkan sebagai set kepala dan alat kawalan jauh untuk memberi pengalaman lebih canggih.
Google menyediakan rekaan rujukan set kepala dan alat kawalan jauh Daydream yang boleh digunakan pembangun dan bukan itu saja, ia boleh dikembangkan melalui telefon pintar. Antara pengeluar telefon pintar yang bakal mesra Daydream termasuk Samsung, Huawei, ZTE, ASUS, Alcatel, Xiaomi dan HTC.
Semuanya dijangka mula disaksikan pada penghujung tahun ini. Alat kawalan jauh Daydream menjadikannya ciri baru pada VR. Ia bukan saja digunakan untuk kawalan butang tetapi turut dilengkapi sensor giroskop dan pergerakan yang penting dalam permainan video.
Tidak lengkap Daydream tanpa aplikasi khas. Oleh itu, Google bekerjasama dengan beberapa pembangun kandungan seperti The New York Times, The Wall Street Journal, HBO dan IMAX.
Malah, Google juga merapatkan hubungan dengan pembangun game seperti Ubisoft, EA dan CCP bagi menghasilkan permainan VR. Setakat ini, Google sudah menyediakan fungsi VR pada produknya seperti YouTube.
Google Home Ia inovasi baru menyamai Amazon Echo, peranti yang kelihatan seperti penapis udara dan memiliki pembesar suara disambungkan terus ke Internet menerusi WiFi. Pastinya ia dikawal penuh menggunakan suara saja termasuk dengan memulakannya hanya menyebut ‘OK Google’.
Google Home boleh digunakan sebagai kaunter pertanyaan dan apabila berhubung dengan Google Cast, ia mampu mengawal perkakasan elektronik lain seperti televisyen atau pembesar suara. Contohnya, ia boleh memainkan video YouTube ke televisyen menerusi arahan suara dan mampu mengawal lampu dengan hanya bercakap dengan alat kawalan.
Hanya dengan suara juga, ia membantu menetapkan penggera di telefon, membuat temu janji dan banyak lagi.
Android Wear 2.0
Sejak setahun dua, jam pintar menjadi gajet terbaru kepada pengguna, tidak hairan fungsinya perlu diperluaskan dan manfaatnya lebih jelas. Berbanding sebelum ini, Android Wear 2.0 membenarkan pilihan fungsi yang terpapar di skrin jam, boleh ditetapkan sendiri pengguna seperti kalendar, senarai lagu, temu janji, kiraan langkah dan kadar degupan jantung.
Seperti pengalaman penulis, antara yang sukar dilakukan jam termasuk membalas mesej kerana papan kekunci sangat kecil meskipun boleh dilakukan dengan suara tetapi ia belum cukup mantap. Sebab itu, Android Wear 2.0 mempunyai set pramesej sedia ada atau dengan melakar di atas skrin yang membolehkan Google mengesan tulisan di atas skrin dan menterjemahnya ke dalam huruf.
0 comments:
Post a Comment