Pasukan penyelamat Indonesia semalam mencari mangsa terselamat di beberapa buah kampung dan kebun yang hangus selepas sebuah gunung berapi meletus dan menyebabkan tujuh orang terkorban. Beberapa saksi berkata, Gunung Sinabung menghamburkan awan abu, gas dan batu panas di daerah Karo, Pulau Sumatera pada Sabtu lalu.
Sebilangan petani rentung semasa cuba melarikan diri dari lereng gunung berapi aktif itu. Awan panas itu yang mencatat suhu 700 darjah Celsius membakar kediaman dan menyebabkan haiwan ternakan hangus.
Komander tentera daerah Karo, Agustatius Sitepu berkata, penduduk yang terselamat berlari sana sini untuk menyelamatkan diri dan dalam keadaan panik. “Hanya ada beberapa puluh mangsa yang selamat. Mereka amat takut. Badan mereka dilitupi abu,” katanya.
Sebanyak enam mayat ditemui kelmarin, manakala tiga mangsa lain dikejarkan ke hospital kerana melecur teruk. “Seorang mangsa yang cedera itu meninggal dunia malam kelmarin menjadikan angka korban meningkat kepada tujuh orang. Dua lagi berada di unit rawatan rapi selepas 90 peratus badan mereka melecur,” kata ketua agensi pengurusan bencana tempatan, Natal Nail semalam.
Katanya, pasukan penyelamat masih menemui beberapa mangsa terselamat kelmarin semasa menggeledah kediaman dan kebun di Kampung Gamber. Penduduk diarahkan untuk mengosongkan Kampung Gamber pada hujung 2014 berikutan risiko tinggi aliran lahar, abu tumpat dan batu vulkanik tetapi sebilangan mereka pulang kerana faktor ekonomi walaupun ditegah oleh pemerintah.
“Kami harap mereka yang tinggal berdekatan Sinabung dan juga pelancong akan sedar bahawa gunung berapi ini masih amat berbahaya,” kata Nail.
0 comments:
Post a Comment