“Jangan nanti legasi Tun Dr Mahathir dipandang buruk oleh rakyat kerana sikap beliau yang sanggup bersekongkol dengan pembangkang,” tegas Pengarah Strategik Komunikasi Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Beliau berkata, masih belum terlambat untuk bekas Perdana Menteri itu kembali ke pangkal jalan. Ia kerana, katanya, seruan Dr Mahathir supaya pengundi di Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar mengundi calon pembangkang, sekali gus mengalahkan BN adalah satu pengkhianatan.
“Ini bukan soal tukar pucuk pimpinan lagi seperti yang dilaung-laungkan sebelum ini, tetapi mahu menumbangkan BN. “Inilah pengkhianatan perjuangan paling besar,” tegasnya, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir yang mahu pembangkang menewaskan BN pada dua Pilihan Raya Kecil (PRK) terbabit pada 18 Jun ini.
Ketika berucap pada Himpunan Selamatkan Malaysia di Stadium Malawati, Shah Alam Sabtu lalu, bekas Presiden UMNO itu meletakkan harapan mahu kedua-dua kerusi berkenaan ditandingi satu lawan satu saja, sekali gus mengelakkan pertembungan seperti pada Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini.
Dalam pada itu, Abdul Rahman hairan dengan usaha sia-sia Dr Mahathir yang mahu menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak sedangkan Perdana Menteri memperoleh sokongan padu semua peringkat pimpinan parti dan komponen BN.
“Kalau ramai menyokong beliau, sudah lama Datuk Seri Najib tidak berada di tempatnya sekarang, ironinya pemimpin dan rakyat masih mahukan Perdana Menteri sekarang,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Dr Mahathir sememangnya ahli pembangkang selepas keluar dari parti. Beliau tidak pelik dengan pendirian bekas pemimpin berkenaan berharap BN kalah pada kedua-dua kawasan Parlimen itu.
“Tindakan Tun Mahathir lebih kepada usaha mencari kepuasan diri sendiri selepas kecewa kepada kemenangan cemerlang BN di Sarawak selepas banyak dikecewakan akhir-akhir ini terutama kegagalannya memaksa Datuk Seri Najib meletak jawatan,” katanya.
Katanya, gelagat Dr Mahathir seperti ketua pembangkang hanya memecahbelahkan Pakatan Harapan. “(Datin Seri Dr) Wan Azizah (Wan Ismail) tidak boleh memaafkan Tun Mahathir sebab itu beliau enggan hadir ke dalam sebarang majlis yang Tun hadir bersama, malah bukan setakat itu, kehadiran Tun dalam barisan pembangkang menyebabkan Pakatan Harapan jadi cacamarba,” katanya.
Justeru katanya, usaha Dr Mahathir ‘merampas’ kepemimpinan pembangkang menyebabkan usaha mereka menawan kerusi Sungai Besar dan Kuala Kangsar bakal menemui kegagalan. “Kenyataan pembangkang menyokong satu calon walaupun yang bertanding itu dari PAS mengguris hati penyokong PAN (Amanah) dan DAP, sekali gus memecahbelahkan perpaduan mereka,” katanya.
0 comments:
Post a Comment