Dunia sudah kembali ke zaman Jahilliah, itulah yang bermain difikiran kebanyakan pemikir Islam hari ini. Manakan tidak, jika pada zaman Jahilliah dahulu, hanya kanak-kanak perempuan sahaja dibunuh, hari ini, semua lapisan umur dan agama menjadi sasaran pengganas yang dikenali sebagai Islamic State (IS) atau lebih hina lagi kumpulan Daesh.
Apa yang dilakukan oleh kumpulan pengganas Daesh ini cukup terkutuk dan secara jelasnya, bukan lagi menurut ajaran Islam yang sebenar. Seperti Al Qaeda, satu nama yang cukup digeruni satu ketika dahulu, perjuangan Daesh ini lebih tertumpu kepada aktiviti mengebom sasaran yang jelas bukan sasaran militari. Sebaliknya, ianya disasarkan kepada kepentingan awam seperti Lapangan Terbang.
Memetik kata-kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien semalam, beliau jelas menyatakan, tiada satu negara pun didunia ini terlepas daripada sasaran Daesh. Ini termasuklah negara ini. Namun begitu, sebagai rakyat Malaysia, kita harus berbangga dengan tahap kecekapan pihak polis dalam menangani ancaman sebegini.
Namun begitu, bagi banyak negara di luar ruang lingkup negara, setiap hari, negara mereka akan terdedah kepada ancaman yang disifatkan sebagai ancaman maut. Kebimbangan ini semakin berasas apabila pesawat EgyptAir terhempas di lautan Mediterranean yang mengorbankan 66 orang penumpang serta anak kapal.
Menurut penyelidik, mereka mengesyaki pesawat berkenaan disabotaj oleh kumpulan Daesh ini dimana pesawat berkenaan dilaporkan berasap di bahagian kokpit dan tandas. Ini menjadikan kebimbangan mengenai kemampuan Daesh untuk merekrut sesiapa sahaja untuk menjadi pengganas, berada pada tahap paling membimbangkan.
Sebelum ini, kumpulan yang sama juga mengaku bertanggungjawab menembak jatuh sebuah pesawat penumpang Rusia di Sharm el Sheikh, Mesir tahun lalu. Malah, kumpulan yang sama juga mengaku bertanggungjawab mengebom Lapangan Terbang Antarabangsa Brussels, Belgium sehingga mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa.
Ini belum lagi mengambil kira bagaimana mereka mengebom Paris sebanyak dua kali sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa. Ini semua bukti bahawa Daesh, bukanlah sebuah kumpulan yang hanya berpusat di Mosul, Iraq dan utara Syria sahaja. Pengaruh gila dan sesat kumpulan ini semakin hari semakin merebak tanpa mengenal lagi sempadan.
Apa yang pasti, apa yang dilakukan oleh kumpulan Daesh ini bukanlah sesuatu yang diajar dan dituntut oleh Islam. Ada dakwaan mengatakan, mereka bukanlah kumpulan militan Islam kerana modus operandi mereka seperti memancung, mengelar, membakar hidup-hidup dan melemaskan tahanan didalam air, bukanlah amalan biasa umat Islam sejak dahulu lagi.
Benar Islam membenarkan seseorang pesalah seperti pembunuh di pancung, namun ianya mesti mendapat pembelaan dan keadilan sewajarnya. Namun dalam kes Daesh, pesalah yang ditangkap, tidak perlu berhadapan dengan perbicaraan, sebaliknya, hukuman dijatuhkan kurang dari 30 minit seseorang pesalah itu di tangkap. Adakah ini ajaran Islam sebenar?
Jenayah tanpa sempadan yang dilakukan oleh Daesh ini sudah cukup meletakkan semua anggota keselamatan di seluruh dunia berada dalam keadaan siap sedia. Sebarang kesilapan pasti buruk akibatnya dan semua negara pastinya enggan melihat tragedi di Paris dan Antwerp ini menjangkiti negara mereka, termasuklah Malaysia.
0 comments:
Post a Comment