Skuad Piala Thomas negara melangkah ke saingan separuh akhir hari ini selepas menewaskan Taiwan 3-1 pada aksi suku akhir semalam di Pusat Sukan Kunshan. Seperti dijangka, Datuk Lee Chong Wei yang turun selaku perseorangan pertama berjaya menewaskan Chou Tien Chen 21-18, 21-18.
Beregu pertama negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong bagaimanapun tewas 21-16, 19-21, 19-21 kepada pasangan Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin. Perseorangan kedua negara Iskandar Zulkarnain Zainuddin kembali meletakkan skuad negara di depan selepas mencatat kemenangan mudah 21-8, 21-13 ke atas Hsu Jen Hao.
Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang turun selaku beregu kedua negara meraih mata kemenangan selepas menewaskan Chen Hung Ling-Wang Chi Lin 21-16, 22-20.
Untuk perlawanan Separuh Akhir hari ini, Malaysia dijadualkan akan menentang Denmark yang memenangi satu lagi perlawanan suku akhir malam tadi dengan menewaskan juara bertahan, Jepun dengan keputusan 3-2.
Kejutan terbesar semalam berlaku apabila Korea Selatan, sebuah pasukan yang diletakkan sebagai pilihan ke empat kejohanan, menewaskan tuan rumah, China dalam satu lagi saingan Suku Akhir semalam. Korea Selatan menwaskan China dengan keputusan 3-1 dengan pemain nombor satu dunia, Chen Long berjaya ditundukkan di tanah airnya sendiri.
Lain-lain keputusan, Indonesia menepati ramalan menempah slot ke Separuh Akhir untuk bertemu Korea Selatan apabila menewaskan pasukan Hong Kong, juga dengan keputusan 3-1.
0 comments:
Post a Comment