Masyarakat hari ini begitu mudah mempercayai sesuatu yang berunsur mistik dan tahyul sehingga ada diantaranya menyalahkan entiti yang langsung mereka tidak pernah lihat dihadapan mata berbanding realiti sebenar apa yang berlaku.
Dalam membicarakan tentang kisah mistik ini, penulis tertarik dengan satu penulisan di satu laman sosial Facebook yang telah menjadi viral sejak hari ini (Maaf, penulis terlupa siapa yang mengisahkan cerita ini). Kisah ini mungkin dapat merungkaikan sedikit, adakah sesuatu kematian itu disebabkan oleh sampukan makhluk halus seperti Jin dan Syaitan atau ada hubung kait dengan masalah yang ditanggung secara klinikal dan sains.
gambar hiasan |
Macam-macam juga yang beliau ceritakan dan kesemuanya jelas menarik-menarik belaka. Namun begitu, ada satu kes yang saya kira agak unik dan saya ingin kongsikan pada semua semua. Kes ini diceritakan sendiri oleh bekas bos sahabat saya ini kepada beliau. Dikisahkan, pakar Forensik berkenaan yang telah mengendalikan kes ini secara peribadi.
Kes berkenaan adalah bila mana sepasang suami isteri telah kehilangan 3 orang anak-anak mereka dalam masa yang cukup singkat. Anak-anak mereka meninggal dunia satu demi satu tanpa sebab yang khusus yang dapat dihuraikan untuk difahami. Beberapa orang pakar Forensik telah membuat bedah siasat seteliti habis. Namun tiada jawapan pasti untuk menghuraikan kematian ini.
Ajaibnya, jasad-jasad mereka juga langsung tiada 'defect' yang boleh mengaitkan punca kematian mereka. Lebih membingungkan, ketiga-tiga anak ini meninggal dunia di sekolah yang sama dan pada masa yang berlainan.
Untuk kes anak yang pertama, Arwah meninggal dunia secara mengejut di sekolah. Menariknya, hasil bedah siasat menunjukkan, TIADA SEBAB KEMATIAN DIKESAN. Begitu juga dengan anak kedua yang turut meninggal dunia beberapa bulan selepas itu di sekolah yang sama. Hasil bedah siasat juga menunjukkan, TIADA SEBAB KEMATIAN DIKESAN.
Ini menyebabkan keluarga ini begitu sedih dan gusar. Maka bermulalah kisah-kisah mistik berlegar melalui cerita-cerita jiran tetangga dan masyarakat. Kononnya, punca kematian dua orang anak pasangan suami isteri ini berpunca dari kewujudan jin dan hantu di sekolah berkenaan yang telah meragut nyawa anak2 malang tersebut.
Lebih menambah perisa, munculnya 'bomoh-bomoh dan pawang-pawang' yang mengatakan bahawa keturunan mereka mungkin telah disumpah dek dosa-dosa nenek moyang mereka sehingga tidak boleh menjejakkan kaki ke tapak sekolah tersebut.
Tertekan dengan segala cerita-cerita liar serta andaian mengarut bomoh-bomoh dan pawang-pawang ini, pasangan suami isteri ini pun memindahkan anak ke 3 mereka ke sebuah sekolah yang lain kerana terlalu sedih dan mengenangkan 2 orang anak mereka yang telah meninggal dunia.
Namun begitu, sekali lagi pasangan suami isteri ini dikejutkan dengan kematian anak mereka yang ke 3. Anak ini menemui ajalnya ketika di sekolah yang telah menyaksikan kedua-dua abangnya menemui ajal. Kebetulan pula, di sekolah berkenaan sedang melakukan aktiviti sukan peringkat sekolah dan anak ke 3 ini telah pergi ke sekolah arwah abang-abangnya untuk bertanding.
Anak ketiga pasangan ini dilaporkan meninggal dunia secara mengejut semasa menyertai aktiviti sukan. Seperti nasib kedua abangnya, hasil bedah siasat mendapati, TIADA SEBAB KEMATIAN DIKESAN. Cukup besar dugaan menimpa kepada pasangan suami isteri malang tersebut. Sudahlah kehilangan anak-anak, ditambah pula kebingungan kerana tidak tahu punca kematian anak-anak mereka dengan lebih khusus.
Setelah mengadakan muafakat sesama suami isteri, akhirnya mereka nekad mengadakan ujian genetik terhadap anak ketiga ini. Hasilnya, didapati ketiga-tiga anak pasangan ini, mempunyai masalah kecacatan genetik khusus yang sukar untuk dihuraikan. Mengikut ujian, ada gen dalam kromosom mereka yang didapati berkurangan.
Ini menyebabkan ketiga-tiga anak pasangan ini tidak boleh dan tidak mampu melakukan aktiviti lasak seperti bersukan, berlari dan sebagainya. Jika dilakukan juga pada kadar yang melebihi kemampuan mereka, jantung mereka akan secara tiba-tiba mengalami renjatan dan mangsa meninggal dunia secara mengejut.
Apabila siasatan lanjut dilakukan, memang benar, ketiga-tiga anak malang tersebut telah melakukan aktiviti sukan seperti Pendidikan Jasmani, bersukan, bermain dan sebagainya sejurus sebelum meninggal dunia. Kes ini amat menarik dan saya percaya masih ramai penduduk kawasan tersebut mempercayai bahawa anak-anak itu meninggal dunia disebabkan jin dan gangguan makhluk halus.
Hakikat sebenarnya ialah, mereka memang meninggal dunia disebabkan oleh masalah gen dan bukannya jin. Saya bertanya lanjut kepada sahabat saya ini apakah diagnosis khusus masalah genetik tersebut tetapi sahabat saya tidak ingat kerana kisah ini telah diceritakan kepadanya agak lama.
Namun saya fikir, dengan cerita yang beliau berikan ini berkemungkinan kes ini adalah Long QT Syndrome atau Brugada Syndrome yang merupakan kecacatan pada laluan elektrik jantung hingga pesakit meninggal dunia mengejut dek renjatan jantung.
Inilah hakikat sebenar masyarakat kita hari ini yang amat mudah mempercayai kisah-kisah tahyul, seram, mitos, skandal dan menyebarkan berita tidak sahih tanpa siasatan.
Paling menyedihkan ada dikalangan agamawan juga menyalahkan kerajaan dan pemimpin atas bala bencana yang menimpa negara seperti kemalangan kapal terbang dan banjir. Malah ada yang berani mendakwa, seolah-olah keberkatan sudah hilang dari bumi Malaysia.
Paling hebat, ada diantara penggiat media sosial hari ini seolah-olah bertindak seperti blogger dan penjaga media sosial bagi Tuhan apabila mendakwa bumi, lautan dan langit juga kononnya tidak suka pada pemimpin kita hari ini. Siapa kita untuk mendakwa sedemikian sedangkan apa yang berlaku hari ini hanyalah ujian dari Allah S.W.T keatas makhluknya.
0 comments:
Post a Comment