“Saya berhempas pulas bergelut dengan penjenayah ‘orang minyak’ memakai seluar dalam merah yang cuba memperkosa saya di dalam tandas sebuah stesen minyak,” kata mangsa, Ili Shahirah Mohd Diah, 30.
Dalam kejadian cemas jam 10 malam kelmarin, mangsa yang memiliki dua cahaya mata itu bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri ketika diserang di Bandar Baru Rawang. Kejadian itu bagaimanapun menjadi viral di media sosial apabila gambar mangsa cuba melarikan diri sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Mangsa yang ditemui wartawan semalam berkata, kejadian berlaku ketika dia memasuki tandas wanita di stesen minyak itu untuk membuang air. Menurutnya, terdapat dua wanita lain berada di dalam tandas ketika itu sebelum kedua-dua wanita itu keluar.
“Saya yang berada di dalam salah satu bilik tandas terdengar bunyi pintu dibuka dan ditutup dengan perlahan tidak lama kemudian. Saya mula rasa tidak sedap hati lalu segera buka pintu. Namun, saya terkejut apabila mendapati seorang lelaki berdiri di hadapan pintu dengan tidak memakai baju,” katanya.
Menurutnya, lelaki terbabit didapati membuka seluar dan hanya memakai seluar dalam berwarna merah ketika itu. “Saya sangkakan dia mungkin mabuk dan tersilap tandas, namun tiada bau alkohol pada badan suspek,” katanya.
Ila berkata suspek dengan pantas menolaknya masuk ke dalam tandas semula tetapi tidak berjaya kerana dia melawan. “Lebih dua kali saya ditarik, namun saya tetap melawan dan akhirnya saya jatuh di lantai. Penjenayah kemudian cuba melipat tangan saya ke belakang. Bagaimanapun saya sempat berpaut pada lubang udara di tepi tandas dan menjerit.
“Dalam keadaan kelam-kabut saya berjaya membuka pintu tandas dan berlari keluar. Suspek yang mendapati saya terjatuh kemudian cuba mengejar,” katanya.
Menurutnya, suspek kemudian berlari ke arah belakang stesen minyak selepas dia menjerit meminta tolong. “Susulan itu saya yang cedera ringan bertindak membuat laporan polis,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
0 comments:
Post a Comment