Membicarakan tentang misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB), MH370 yang sudah melepasi tahun kedua kehilangannya, pelbagai petunjuk kini sudah mula diambil dan dikaji oleh semua pakar aviasi. Masing-masing berusaha untuk merungkai misteri kehilangan pesawat paling unik dalam sejarah penerbangan dunia.
Sebelum ini, orang ramai yang mengunjungi pesisir pantai di Afrika Selatan dan Kepulauan Mauritius telah menjumpai serpihan pesawat yang dipercayai sebagai serpihan pesawat MH370. Semua serpihan berkenaan telah dibawa ke makmal kajian antarabangsa dan keputusan awal menunjukkan, serpihan berkenaan memang milik sebuag pesawat Boieng 777.
Hari ini, menerusi satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan, mereka mengesahkan, serpihan berkenaan hampir pasti milik MH370, pesawat malang yang membawa 232 orang penumpang yang hilang secara misteri, dua tahun lalu.
Pemeriksaan ke atas kedua-dua serpihan yang ditemui di Afrika Selatan dan pulau Mauritius di Rodrigues, yang masing-masing terdiri daripada sekeping enjin cowling dengan separa logo Rolls-Royce dan sekeping panel dalaman dari kabin pesawat telah selesai dijalankan oleh pasukan pakar antarabangsa di Australia.
Menurut kenyataan itu lagi, setelah pemeriksaan dan penilaian terperinci, Pasukan Penyiasatan Keselamatan ICAO Annex 13 Malaysia untuk MH370 (Pasukan Penyiasatan Keselamatan MH370) telah membuat kesimpulan bahawa kedua-dua keping serpihan adalah konsisten dengan panel pesawat Malaysia Airlines Boeing 777.
Justeru itu, pasukan itu telah mengesahkan bahawa kedua-dua keping serpihan dari Afrika Selatan dan Pulau Rodrigues tersebut hampir pasti berasal dari MH370. Ini adalah selari dengan hasil pemeriksaan pada bulan Mac lalu di mana pasukan tersebut juga telah mengesahkan serpihan yang dijumpai di Mozambique juga berkemungkinan besar berasal dari MH370.
Dalam kenyataan yang sama, bagi pihak Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai ingin memberikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Geosains Australia dan Boeing di atas komitmen yang tidak berbelah-bagi serta bantuan yang telah diberikan sepanjang proses pemeriksaan dan penilaian ini berjalan.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Mozambique, Mauritius dan Afrika Selatan di atas usaha dan kerjasama yang diberikan kepada Malaysia dalam hal ini. Kerajaan Malaysia, Australia dan China terus komited dalam usaha pencarian MH370. Sehingga kini, lebih daripada 105,000 kilometer persegi kawasan pencarian telah diliputi oleh pasukan pencarian.
0 comments:
Post a Comment