Barisan Nasional (BN) Perak tidak memandang rendah cabaran daripada parti lawan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar, bulan depan.
Pengerusi BN Perak yang juga Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya menganggap sesiapa saja yang bertanding pada PRK itu sebagai cabaran yang harus dihadapi, jadi semua pihak diseru berusaha bersungguh-sungguh dalam memastikan kemenangan pada PRK itu.
“Tidak kira siapa saja yang bertanding, itu lawan yang perlu kita hadapi. Bagi pembangkang, mereka tidak ada masalah meletakkan calon luar atau bukan anak tempatan. BN pula meletakkan tiga kriteria bagi pemilihan calon iaitu boleh diterima penduduk, disukai pengundi dan boleh menang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO kerajaan negeri, semalam.
Beliau percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi BN akan memilih calon untuk PRK Kuala Kangsar berasaskan tiga kriteria itu.
Mengenai ‘acuan tetap’ PRK Teluk Intan yang akan digunakan pada PRK Kuala Kangsar seperti dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Ahad lalu, Zambry mengakui pihaknya akan menggunakan gerak kerja sama namun mungkin pendekatan yang berbeza sedikit.
Katanya, semua pihak disaran menggunakan pendekatan lebih berhemah bagi menghormati Ramadan dengan rakyat sendiri tidak suka perkara berunsur fitnah, cercaan, maki-hamun dan kata nista dilemparkan sepanjang bulan mulia itu.
0 comments:
Post a Comment