Individu boleh menang dan disukai akan menjadi keutamaan Barisan Nasional (BN) untuk diletakkan sebagai calon bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Selangor, yang ditetapkan pada 18 Jun ini.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sehingga kini tujuh calon disenarai pendek. Malah, beliau juga tidak menolak kemungkinan calon wanita diketengahkan untuk bertanding bagi mengekalkan kerusi berkenaan.
“Setakat ini kita belum memuktamadkan lagi calon akan dipilih, kami mengadakan perbincangan (tentukan calon) dengan pemimpin BN Selangor dan Sungai Besar sebelum keputusan diambil.
“Ramai berharap wanita dipilih menjadi calon, tetapi kita juga ada pertimbangan lain...calon boleh menang dan disukai menjadi keutamaan utama parti (dalam membuat pilihan),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Penganjuran Program Oleh Kerajaan Persekutuan di Parlimen Sungai Besar di Bangunan Perdana Putra, di sini, semalam.
Turut hadir, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Kiong dan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor merangkap Pengarah Pilihan Raya Sungai Besar Datuk Noh Omar.
Mesyuarat berkenaan diadakan untuk memastikan tiada pertindihan dari segi pelaksanaan program dan aktiviti bakal diadakan sepanjang PRK berlangsung.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, setiap strategi disusun bagi menghadapi PRK perlu dipastikan keberkesanannya kerana kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) hanya tipis iaitu 399 undi saja.
Sehubungan itu, katanya, beliau dan Noh bersama presiden parti komponen BN akan memberi tumpuan dengan mengambil beberapa tindakan bersifat kos efektif bagi memastikan apa saja dilakukan memberi hasil lebih baik.
“Kita (BN) di Sungai Besar lebih ‘underdog’ kerana kemenangan (pada PRU lalu) hanya 399 undi dan kerajaan negeri juga dikuasai orang lain. Kita sedar (mengenainya) dan kita harus bekerja keras dan lebih bijaksana untuk menangani segala masalah bagi memastikan kemenangan di Sungai Besar,” katanya.
Sementara itu, Liow berkata, secara keseluruhannya masyarakat Cina di Parlimen Sungai Besar dapat menerima baik dasar kerajaan kerana kerajaan juga responsif dengan permintaan mereka. Malah, katanya, kaum Cina juga tahu mereka perlu berada dalam kerajaan dan bukan selamanya dengan pembangkang.
“Kami berharap mereka boleh memberikan kekuatan kepada MCA untuk memainkan peranan dalam kerajaan bagi membantu menyuarakan keluhan mereka. Apa yang penting bagi mereka adalah kerajaan stabil dan kukuh,” katanya.
0 comments:
Post a Comment