My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 11 May 2016

    Jose Mourinho Mungkin Melatih Indonesia?




    Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Imam Nahrawi mengesahkan, pihaknya telah mengadakan perbincangan dalaman untuk mendapatkan khidmat Jose Mourinho sebagai ketua jurulatih skuad bola sepak negara itu. 

    Nahrawi, 42, mengakui beliau telah berbincang dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Ketua Jawatankuasa Olimpik Indonesia, Erick Thohir yang juga Presiden Inter Milan, kelab Serie A Itali mengenai perkara tersebut.

    Bagaimanapun, Nahrawi menyifat­kan faktor gaji yang perlu dibayar kepada Mourinho mungkin menjadi penghalang pengendali kelahiran Portugal itu menerima tawaran tersebut. “Kehadiran Mourinho secara tak langsung akan menambah minat dan kesungguhan peminat-peminat bola sepak di Indonesia. Kami amat memerlukannya bagi meningkatkan motivasi para pemain.

    “Ketua jurulatih skuad bola sepak Indonesia mestilah warga asing, dan beliau akan ditemani oleh jurulatih tempatan sebagai pembantunya dalam pasukan kebangsaan. Begitupun, saya difahamkan gaji Mourinho lebih kurang £13 juta (RM75.96 juta) setahun, justeru, perkara ini tidak akan diselesaikan dengan mudah walaupun perbincangan (secara dalaman) telah dijalankan sebelum ini,” katanya.

    Dalam perkembangan sama, Nah­rawi turut mendedahkan, Thohir pernah mencadangkan kepada pihaknya untuk menandatangani Guus Hiddink memandangkan pengurus sementara Chelsea itu mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas dalam arena bola sepak antarabangsa.

    Mourinho, 53, ‘diangkat’ sebagai salah seorang pengurus bola sepak terhebat di dunia selepas mengemudi Porto dan Inter Milan merangkul trofi Liga Juara-Juara selain pernah memenangi tiga gelaran Liga Perdana England bersama Chelsea selain menjuarai satu kejuaraan La Liga dengan Real Madrid.

    Beliau kini dikaitkan dengan Man­chester United dan beberapa pasukan mewah Liga Super China selepas dipecat daripada Chelsea pada Disember tahun lepas gara-gara persembahan hambar dalam sai­ngan Liga Perdana England.

    Sebagai rekod, Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) digantung daripada sebarang kejohanan oleh FIFA pada 31 Mei tahun lalu akibat permasalahan melibatkan kerajaan dalam saingan liga domestik mereka. Penggantungan itu menyebabkan Indonesia tidak dapat beraksi dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 pada Jun lepas.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Jose Mourinho Mungkin Melatih Indonesia? Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top