Persekitaran sekolah yang kondusif dilihat mampu mempengaruhi kecemerlangan seseorang pelajar. Itu antara pegangan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Babagon Toki, Yahya Yusof, 57, ketika mula-mula diberi tanggungjawab menjadi ‘ketua’ di sekolah itu 15 tahun lalu.
“Sewaktu mula melangkah ke sekolah ini pada 2001, saya hanya melihat satu blok bangunan sekolah diperbuat daripada kayu di lereng bukit dan mempunyai padang kecil di hadapannya.
“Ketika itu, saya berazam mahu melihat murid di sini berjaya dalam pendidikan, dan harus bermula dengan mengubah landskap visual sekolah ini kerana percaya ia mampu mempengaruhi merangsang minda murid untuk mudah menimba ilmu,” katanya.
Ternyata impian Yahya bukan sekadar kata-kata kosong, sebaliknya mampu diterjemah sehingga menjadikan sekolah terletak berhampiran Empangan Babagon ini menjadi taman yang indah.
Malah, perubahan 360 darjah ini mendapat pengiktirafan luar apabila menerima Anugerah Sekolah Lestari Alam Sekitar kategori sekolah rendah enam tahun berturut-turut sejak 2010 menewaskan ratusan sekolah rendah lain di seluruh negara.
Walaupun sedar kekangan kewangan yang ada, Yahya menganggap ia pendorong utama buat dia dan guru untuk lebih kreatif dalam mencantikkan persekitaran sekolah. “Boleh dikatakan lebih 85 peratus perubahan landskap di sekolah ini hasil usaha guru dan ibu bapa murid tanpa mengharapkan bantuan daripada Jabatan Pendidikan atau pihak luar.
Menerapkan konsep ‘Sekolah Ku Rumah Ku’, Yahya mahu setiap anak muridnya merasa selesa seperti berada di rumah sendiri ketika belajar.
“Justeru, jangan hairan, murid di sini membuka kasut masing-masing dan meletakkannya di tempat penyimpanan sebaik saja melangkah masuk ke pagar sekolah, sama seperti adab mereka masuk ke rumah.
“Ini bermakna sepanjang sesi tiada yang mengenakan kasut sehingga waktu sekolah tamat,” katanya. Justeru, tidak menghairankan SK Babagon Toki yang mempunyai 78 murid termasuk prasekolah mampu mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) apabila berjaya mencatatkan keputusan lulus 100 peratus sebanyak tiga kali bagi tempoh lima tahun kebelakangan ini.
0 comments:
Post a Comment