Dua pelajar masing-masing sekolah menengah dan rendah mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki dalam kejadian berasingan dipercayai membabitkan kehadiran ular di sekolah masing-masing di sini, kelmarin.
Kejadian pertama berlaku jam 5.30 petang ketika mangsa Dayang Siti, 13, pelajar tingkatan dua sedang mencuci pakaian bersama rakan-rakannya. “Ketika kejadian, saya sedang mencuci pakaian bersama rakan-rakan. Seekor ular sebesar jari kelingking melintas di kaki kanan sebelum mematuk kaki saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Limbang semalam.
Jelasnya, kehadiran ular hitam itu tidak disedarinya. “Mula-mula saya ingat seutas tali namun ular itu terus mematuk saya menyebabkan rasa berasa pedih di kaki kanan sebelum dikejarkan ke hospital oleh pihak sekolah,” katanya.
Bagaimanapun, Dayang sempat menjerit perkataan ular beberapa kali menyebabkan rakan-rakan lain datang membantu. Sementara itu, ibu mangsa Fauziah menjelaskan kejadian itu dimaklumkan pihak sekolah sekitar jam 6 petang kelmarin.
“Semasa menerima panggilan saya berada di Putatan dan dalam perjalanan ke Hospital Kota Kinabalu untuk melawat makcik saudara yang sakit. Selepas dimaklumkan kami bergegas pulang melihat keadaan anak saya sedang dirawat di hospital,” katanya.
Fauziah berasal dari Lawas berterima kasih kepada pihak sekolah terutama pengetua, warden dan guru-guru yang bertindak pantas menghantar anaknya ke hospital. “Saya bersyukur kerana anak saya tidak mengalami sebarang kejadian buruk.
“Terima kasih kepada warga sekolah yang membantu menghantar anak saya ke hospital,” tambahnya. Beliau tidak menjangka musibah itu berlaku memandangkan keadaan persekitaran sekolah anaknya bersih dan tiada semak samun.
“Mungkin keadaan cuaca panas menyebabkan reptilia itu keluar mencari kawasan perlindungan,” katanya.
Dalam kejadian kedua, seorang murid sekolah rendah di sini, Justin, 12, berkata beliau sempat menendang seekor ular sebesar lengan yang tiba-tiba menerpa ke arahnya ketika beliau sedang mencuci cawan di dewan sekolah sekitar jam 9.30 malam.
Menurutnya, ular itu tidak sempat mematuknya dan menyusur lari ke dalam semak. Bapa mangsa, Paris, 64, bersyukur anaknya hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki kiri. Menurut Paris, beliau bergegas ke hospital dalam keadaan hujan lebat sekitar jam 10 malam kelmarin selepas meminjam kenderaan rakannya untuk melihat keadaan anaknya.
“Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak. Benda ini sudah berlaku dan tidak dijangka memandangkan keadaan cuaca panas sekarang menyebabkan ular keluar dari sarang,” katanya. Beliau juga mahu persekitaran sekolah sentiasa dalam keadaan kering dan tiada semak samun bagi mengelak didatangi haiwan berbisa.
0 comments:
Post a Comment