My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday 19 May 2016

    Azmin Mahu Lihat Satu Lawan Satu


    Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mahu hanya ada satu calon pembangkang menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun ini. 

    Beliau berkata, semua kepemimpinan parti pembangkang sama ada Pakatan Harapan (PH) atau bekas sekutu PAS, perlu menilai apa yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 7 Mei lalu. 

    Justeru katanya, PKR akan terus mengadakan perbincangan dengan PAS dan Parti Amanah Negara (PAN) membabitkan siapa yang akan diletakkan sebagai calon di Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebelum penamaan calon 5 Jun ini.

    “Ini adalah masa sesuai untuk semua parti pembangkang (PKR, PAS, DAP dan PAN) bekerjasama mencapai konsensus. Kita mahu pastikan PRK itu membabitkan satu lawan satu. Belajar daripada PRN Sarawak,” katanya ditemui selepas melancarkan Bas Percuma Smart Selangor Daerah Sabak Bernam di sini, semalam.

    Media sebelum ini melaporkan PAS menolak tawaran DAP supaya parti itu hanya bertanding di Kuala Kangsar dan memberi laluan kepada PAN di Sungai Besar pada PRK kedua-dua kerusi Parlimen itu, 18 Jun ini.

    Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata, PAS tidak perlu mengikut telunjuk DAP sebaliknya bertanding di kedua-dua kerusi Parlimen itu. Sementara itu Mohamed Azmin mempertahankan penyertaannya dalam Deklarasi Rakyat yang diketuai bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

    Beliau berkata, Deklarasi Rakyat yang turut disertai kepemimpinan utama DAP dan PAN itu juga dimasukkan dengan agenda reformasi yang sering dilaungkan PKR. “Keputusan untuk sertai Deklarasi Rakyat ini dibuat bersama semua parti dalam Pakatan Harapan dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan),” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Azmin Mahu Lihat Satu Lawan Satu Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top