KALI terakhir dianjurkan pada tahun 2010 sebelum direhatkan selama enam tahun, Anugerah Seri Angkasa 2016 (ASA 2016) berlangsung penuh meriah pada 20 dan 21 Mei lalu (Jumaat dan Sabtu) bertempat di Auditorium Perdana Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Meskipun penganjurannya kian dipandang sepi oleh segelintir pihak, ASA merupakan wadah penting yang memartabatkan para penggiat seni industri kreatif penyiaran tanah air selain memberi pengiktirafan kepada pengamal penyiaran.
Bertemakan Evolusi Tanpa Batasan, sebanyak 28 kategori telah diumumkan pada Malam Kemuncak Seri Angkasa 2016 yang turut menyaksikan anak seni berkaliber, Fauziah Datuk Ahmad Daud diangkat sebagai Pelakon Wanita Drama TV Terbaik menerusi lakonan cemerlang dalam drama Harus Terpisah terbitan Astro Prima.
Jika beberapa minggu lalu Fauziah atau lebih mesra disapa sebagai Kak Ogy diberi penghargaan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Anugerah Bintang Popular 29 (ABP29), bakat bintang filem Azura itu terus dihargai apabila turut diiktiraf dalam penganjuran ASA 2016 kali ini.
Ditemui media usai menerima trofi tersebut, beliau sangat terkejut dengan pengiktirafan yang diberikan. Ditanya resipi kejayaan dalam usaha untuk terus memajukan industri seni tanah air, beliau mendahului ayat dengan perkataan ringkas iaitu sabar.
“Saya bersyukur kerana walaupun usia semakin meningkat, ada pihak yang terus menghargai bakat saya sebagai seorang pelakon. Sejujurnya, saya tidak menyangka akan menang. Saya rasa segala yang diterima sejak akhir-akhir ini adalah berkat kesabaran selama ini. Alhamdulillah,” katanya.
Disogok pertanyaan perkara yang akan menjadi fokus beliau dalam terus memartabatkan industri seni tanah air, Ogy memberitahu, ingin meninggalkan sebuah legasi. “Menjadi impian saya untuk menurunkan ilmu lakonan kepada pelakon generasi sekarang. Saya tidak berkenan apabila melihat ramai individu yang cuba untuk mencacat-cela bidang yang telah menjadi darah daging kepada diri saya.
“Justeru, saya ingin meninggalkan legasi kepada mereka yang benar-benar berminat dan mempunyai keinginan yang jitu untuk bergelar anak seni. Saya berasa ralat apabila telah belajar banyak perkara tetapi tiada peluang untuk berkongsi dengan pelakon muda lain,” ujarnya penuh semangat.
Ogy turut melahirkan rasa teruja apabila rakannya, Nasir Bilal Khan diangkat sebagai Pelakon Lelaki Drama TV Terbaik menerusi drama sama. Katanya, kolaborasi dengan aktor tersebut amat memberikan signifikan terhadap dirinya.
Sementara itu, drama Kereta Kita arahan pengarah berkaliber, Feroz Kadir diangkat sebagai Drama TV Terbaik selain turut merangkul anugerah Pengarah Drama TV Terbaik menerusi drama sama. Mengakui terkejut dengan kemenangan tersebut, Feroz berkata, dia tidak menjangka dipilih sebagai pemenang dan menyifatkan calon-calon lain turut menghasilkan karya yang terbaik.
“Saya tidak menjangka akan menang kerana empat calon lain hebat-hebat. Bagi saya, menerima pencalonan sudah memadai. Sebagai pengarah, saya tidak pernah menyasarkan untuk menang sebaliknya memberikan yang terbaik dalam setiap produk yang dihasilkan. Bagi saya sesuatu drama yang baik itu juga bukan kerana pengarah semata-mata, sebaliknya ia memerlukan kerjasama daripada kesemua pihak yang terlibat,” ujarnya.
Feroz turut memberitahu, drama tersebut sarat dengan mesej kekeluargaan yang mungkin menarik perhatian pihak juri yang terlibat pada majlis berprestij tersebut. “Kesemua drama yang tercalon mempunyai kelebihan tersendiri. Barangkali, Kereta Kita dipilih kerana mesej kekeluargaan yang kuat iaitu antara ayah dan anak.
“Selain itu, Kereta Kita juga mengimbau semula kenangan kereta buatan Malaysia iaitu Proton Saga yang semakin dilupakan terutama dalam kalangan generasi muda,” ulasnya.
Turut dijulang, dua pelakon drama Lorong Kecil Ke Syurga terbitan TV9 iaitu Kodi Rasyeed dan Raja Ilya yang masing-masing membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Terbaik dalam kategori lelaki dan wanita. Komedi yang dipaparkan dalam Kazar Saisi drama komedi turut melayakkannya memenangi trofi Pelakon Komedi TV Terbaik.
Ujarnya ringkas: “Saya jarang memang anugerah tetapi ini merupakan rezeki buat saya setelah agak lama berada dalam industri lakonan.”
Sementara itu, aktor veteran, Datuk Rahim Razali dianugerahkan sebagai Tokoh Seri Angkasa 2016 atas kecemerlangan dan pencapaiannya sebagai seorang pelakon berwibawa dalam terus memajukan industri seni tanah air.
Secara keseluruhannya, penganjuran ASA 2016 dilihat sebagai usaha cemerlang untuk terus memacu kemajuan industri penyiaran dan radio tempatan meskipun skeptikal segelintir pihak tentang kualiti dan ketelusan anugerah tersebut yang lebih cenderung memberi pengiktirafan kepada program terbitan RTM sendiri tidak dapat dielakkan.
Pun begitu, penganjuran kali ini menunjukkan banyak karya bukan terbitan RTM turut diberi peluang untuk mendapat penganugerahan selayaknya. Majlis gilang-gemilang itu turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.
0 comments:
Post a Comment