Seorang lelaki hilang rumah pusaka berusia lebih 100 tahun yang musnah dalam kebakaran di Kampung Pulo di sini, semalam. Lelaki berusia 65 tahun tersebut yang dikenali sebagai Toki Gudu memberitahu dia bergegas pulang selepas menerima panggilan daripada jiran yang memaklumkan mengenai kebakaran tersebut sekitar jam 6.15 petang.
Menurutnya, dia tidak lagi dapat menahan kesedihannya apabila melihat rumah yang menyimpan pelbagai kenangan ranap dijilat api. “Kami (Toki dan anak saudara) bergegas ke sini (tempat kejadian) selepas dimaklumkan oleh jiran, tetapi setibanya kami di sini tadi… tiada apa yang tinggal, semuanya musnah.
"Ini ialah rumah pusaka yang sudah berusia lebih 100 tahun dan diwarisi turun-temurun,” katanya kepada pemberita.
Toki turut memberitahu dia yang bekerja secara sambilan di sebuah kilang minuman di Batu 3, di sini jarang berada di rumah pusaka tersebut sejak kematian isterinya. “Saya tinggal bersama anak saudara di kawasan perumahan berdekatan untuk memudahkan saya pergi kerja dan saya hanya akan pulang ke sini setiap hujung minggu sahaja,” jelasnya.
Difahamkan, Toki mempunyai seorang anak lelaki yang kini bekerja di Semenanjung Malaysia.
Sementara itu, beberapa anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya dikerahkan ke tempat kejadian untuk memadam kebakaran tersebut yang turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela. Kebakaran itu turut menyebabkan sebuah motosikal terbakar dan sebuah lagi rumah mengalami kerosakan.
“Mujur, pihak bomba berjaya mengawal api dengan pantas dan ia tidak merebak ke rumah-rumah berhampiran.
“Cuma sebuah motosikal yang tidak sempat diselamatkan terbakar dan sebuah lagi rumah mengalami kerosakan kecil,” kata penduduk kampung. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.
0 comments:
Post a Comment