Naza Kia Malaysia Sdn Bhd (Naza Kia) optimis pengenalan model kenderaan baru terutama Sorento dan Sportage bermula separuh kedua tahun ini mampu membantu syarikat itu untuk mencapai sasaran jualan keseluruhan melebihi 6,000 unit tahun ini berbanding 4,676 tahun lalu.
Ketua Syarikatnya Nazman SCH Yusof berkata, separuh kedua tahun ini adalah masa terbaik bagi untuk meningkatkan pertumbuhan syarikat berbanding separuh pertama yang dilihat kurang menggalakkan ekoran kesukaran mendapatkan pinjaman dalam kalangan pembeli.
“Oleh itu, kami bakal memperkenalkan barisan produk terbaik kami pada separuh kedua tahun ini melalui lima model termasuk Sorento dan Sportage serta sebuah model facelift dan dua lagi model baru bagi memastikan kami terus kukuh di pasaran,” katanya, di sini, semalam.
Beliau berkata, syarikat dijangka memperkenalkan dua model kenderaannya iaitu Sorento dan Sportage pada 25 Mei ini di mana ia dijangka mampu menarik perhatian pengguna kenderaan di Malaysia yang kini lebih terarah kepada trend kenderaan utiliti sukan (SUV).
Menurutnya, syarikat akan memperkenalkan dua varian Sportage pacuan dua roda dan enjin petrol dua liter serta Sorento pacuan empat roda dan dua jenis enjin iaitu petrol 2.4 liter serta turbo diesel 2.2 liter.
“Pengenalan produk ini dilakukan berasaskan dua strategi iaitu memanfaatkan pemanduan SUV dan menerokai pasaran SUV diesel, sekali gus turut melengkapkan permintaan dalam segmen kompak SUV sehingga saiz besar melalui tiga varian SUV ini.
“Kami akan menawarkan model Sorento ini pada harga berpatutan berbanding model diesel lain iaitu pada harga bermula RM158,000 hingga RM178,000 manakala Sportage pada harga antara RM130,000 hingga RM145,000, namun ia masih belum dimuktamadkan,” katanya.
Nazman berkata, syarikat menyasarkan jualan kira-kira 70 unit Sorento dan 120 unit Sportage setiap bulan dan dan yakin ia mampu dicapai meskipun dalam kesukaran mendapatkan pinjaman. “Jika dilihat daripada aspek potensi, kami yakin untuk mencapai sasaran ini kerana kedua-dua model mampu menarik pengguna daripada pasaran segmen lain termasuk kenderaan pikap ditambah ciri-ciri istimewa termasuk tawaran tujuh tempat duduk ,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Naza Kia berhasrat untuk mengukuhkan dan meluaskan rangkaian di negara ini melalui langkah menaik taraf 44 cawangan sedia ada serta membuka beberapa lagi cawangan baru daripada masa ke masa.
Beliau berkata, syarikat menggalakkan 44 cawangan rangkaian yang terdiri daripada pusat 1s hingga 3s untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan melalui kerja naik taraf terhadap cawangan masing-masing.
“Dalam masa sama, kami merancang pembukaan beberapa cawangan baru termasuk dua pusat 4s di Pulau Pinang di samping menerokai pasaran tahap kedua seperti di Segamat, Kluang, Bukit Mertajam dan Malaysia Timur pada tahun ini dan tahun depan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment