My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 11 May 2016

    Koleksi Ikut Perkembangan Fesyen


    Menawarkan pilihan pakaian menutup aurat kepada golongan minoriti Islam di Kanada sejak dua tahun lalu, usahawan, Aicha Chtourou, 22, tidak menyangka jenama yang dibina demi memberi peluang kepada wanita Islam bergaya sopan di negaranya, membawanya melangkah lebih jauh dalam industri fesyen Muslimah antarabangsa.

    Ikon fesyen Muslimah di Kanada itu membina jenama Modeste, bersama ibu dan ibu saudara, yang masing-masing mempunyai kira-kira 20 dan 30 tahun pengalaman dalam dunia jahitan dan rekaan pakaian.

    Malah, suaminya, Bilal Mashhedi, 26, turut meninggalkan kerjaya sebagai jurutera demi membantu Aicha meluaskan perniagaannya selepas melihat sendiri bagaimana pantas fesyen Modeste berkembang dan mendapat perhatian ramai.

    Lebih menarik, fesyen diketengahkan bukan saja memberi alternatif kepada wanita Islam yang mahu bergaya tanpa membuka aurat, ia turut menarik perhatian wanita bukan Islam yang gemar kepada gaya dalam kelas tersendiri yang ditawarkan itu.

    Menurut Aicha, ini kerana konsep rekaannya tidak hanya menitikberatkan kepada aspek menutup aurat tetapi juga memberi perhatian kepada potongan yang menyerlahkan gaya individu. Berdarah Cina-Kemboja di sebelah ibu dan Arab-Tunisia di sebelah ayah, dia mengakui minat mendalamnya terhadap fesyen mendorongnya aktif memperjuangkan fesyen sopan yang menutup aurat supaya wanita Islam tidak ketinggalan untuk bergaya dengan yakin.

    “Kesimpulannya, pakaian kami dihasilkan mengikut peredaran fesyen, tetapi ia dijahit dengan lebih banyak fabrik supaya semua orang boleh memakainya.

    “Saya tidak mempunyai gaya spesifik, tetapi lebih kepada melihat fesyen aliran terkini dan menambah ciri rekaan yang sesuai digayakan oleh golongan Muslimah.

    “Saya juga banyak memerhati nama besar dalam dunia fesyen termasuk di Eropah dan mengambil sedikit inspirasi untuk menghasilkan fesyen lebih sopan,” katanya dalam kunjungan ke ibu negara, baru-baru ini.

    Kedatangan Aicha bagi melancarkan jenamanya yang bakal ditempatkan di butik vendor terbesar, Pret-A-Porter, berkeluasan 7,000 kaki persegi bertempat di G Village, Jalan Desa Pandan. Menurut Aicha, dia dan suami memikirkan idea pakaian dan ibu saudaranya pula merealisasikannya berdasarkan pengalamannya dalam dunia rekaan dan jahitan sejak tiga dekad lalu.

    Koleksi itu menekankan kepada fabrik seperti jersi, linen, viscose dan wool yang dijahit dalam rekaan panjang dan longgar. “Jenama ini berkembang dengan pantas di Kanada dan kami juga sudah ada cawangan di Amerika Syarikat.

    “Ia berbeza dengan jenama besar lain kerana setiap koleksi kami dijahit sendiri menggunakan fabrik terhad untuk memastikan kualitinya,” katanya yang fasih berbahasa Perancis.

    Menurut Aicha, apa yang menguatkan semangatnya untuk terus menghasilkan pakaian Muslimah apabila sering didatangi pelanggan yang memberi kata-kata motivasi selain menerangkan kemahuan mereka dalam berfesyen. Menetap di Montreal, katanya, bandar itu yang ketiga memiliki ramai masyarakat Islam di Kanada selepas Ontario dan Toronto.

    Di negaranya, Aicha sudah pun memiliki butik sendiri dan dia berharap perniagaannya dapat berkembang lebih jauh memasuki pasaran di beberapa negara lain pada masa depan. “Saya mahu meneruskan usaha mengembangkan perniagaan ini dengan mengkaji peluang yang terbuka,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Koleksi Ikut Perkembangan Fesyen Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top