My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 19 May 2016

    Edaran Tan Chong Jangka Peluang Positif Terbuka


    Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM), pemasang dan pengedar kenderaan Nissan di negara ini melihat langkah Nissan Motor Corporation (NMC) di Jepun membeli 34 peratus pegangan saham Mitsubishi Motor Corporation (MMC) mampu memberi peluang untuk memperluaskan perniagaannya di pasaran tempatan dan luar negara pada masa depan. 

    Pengarah Eksekutifnya Datuk Dr Ang Bon Beng berkata, ketika ini, Nissan diedarkan oleh ETCM manakala Mitsubishi dipasarkan oleh DRB-Hicom Berhad dan Mitsubishi Motors Malaysia Sdn Bhd yang mana ketika ini mereka adalah pesaing dalam segmen kenderaan import di pasaran tempatan. 

    Beliau berkata, dengan adanya penyatuan antara dua jenama berkenaan di bawah satu syarikat sama, ia berkemungkinan membolehkan satu bentuk kerjasama dengan Mitsubishi dapat dilaksanakan pada masa depan.

    “Terlalu awal untuk kami membuat sebarang andaian mengenai perkara ini terutama daripada segi peluang yang boleh diambil oleh ETCM, tetapi kami melihat ia satu perkara yang positif dalam perniagaan,” katanya, di sini, semalam.

    Sebelum ini, media melaporkan NMC merancang untuk membelanjakan kira-kira 200 bilion Yen (RM1.84 bilion) untuk membeli lebih 30 peratus pegangan saham dalam MMC. Turut dilaporkan, MMC juga akan mengeluarkan saham baru kepada NMC melalui penempatan swasta.

    Jika perjanjian itu dilaksanakan, NMC akan menjadi pemegang saham utama, mengatasi Mitsubishi Heavy Industries yang mempunyai kepentingan kira-kira 20 peratus ketika ini.

    Sementara itu, ketika ditanya mengenai jangkaan prestasi jualan Nissan di Malaysia tahun ini, beliau berkata, walaupun keadaan pasaran industri automotif tempatan sedikit mencabar, pihaknya optimis dapat mencapai jualan kira-kira 50,000 unit pelbagai model pada tahun ini berbanding 47,000 unit pada tahun lalu.

    Katanya, pihaknya turut memberi tumpuan kepada perkembangan penguasaan pasarannya yang mana pada 2015 mencatatkan 7.1 peratus dan setakat suku pertama lalu, ia berkembang kepada 8.2 peratus.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Edaran Tan Chong Jangka Peluang Positif Terbuka Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top