My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 19 May 2016

    JPN Kesal ‘Dipergunakan’ Untuk Mengaut Untung

    KELUHAN: Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik Datuk Abd Muis Picho dan Ismail mendengar keluhan masalah salah seorang penduduk Sebatik.

    Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sabah kesal kerana ada pihak yang mempergunakan nama jabatan itu untuk mengaut keuntungan dengan memperdayakan orang ramai. Pengarah JPN Sabah Datuk Ismail Ahmad berkata perkara itu diketahuinya melalui aduan awam menerusi WhatsApp yang mengatakan wujud aktiviti penjualan borang JPN. 

    “Kami tidak pernah melantik pihak kedua atau ketiga menguruskan Borang Pendaftaran Kad Pengenalan (MyKad) atau Daftar Lewat Kelahiran atau Kewarganegaraan. Unit Khas Bergerak JPN Negeri Sabah yang kami kendalikan sendiri akan masuk ke kampung untuk tujuan pendaftaran urusan dokumentasi penduduk secara percuma.

    “Kami cuma minta Ketua Kampung atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mengenal pasti penduduk bermasalah di kawasan mereka,” katanya di sini, kelmarin.

    Ismail berkata semenjak akhir-akhir ini JPN akui ramai pihak yang menipu dan mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan memperdayakan orang ramai. Menurutnya, JPN tidak mahu orang kampung terus tertipu dan tidak mahu JPN turut mendapat nama buruk akibat perbuatan tidak bertanggungjawab pihak terlibat.

    “Jangan percaya dengan pihak yang mengaku kononnya mereka dilantik JPN kerana pihak sebegini hanya mengambil keuntungan atas kedaifan penduduk,” katanya.

    Berhubung kes terbaharu, beliau difahamkan ada yang mengenakan caj sehingga RM350 sedangkan bayaran untuk memproses mendaftar permohonan Mykad hanyalah RM10. Bagaimanapun, pihaknya belum dapat memastikan suspek sebenar dan jumlah sebenar mangsa yang terlibat kerana belum ada mangsa yang tampil membuat laporan polis.

    “Kita meminta orang ramai tampil membuat laporan polis untuk mengelak aktiviti sebegini daripada berterusan dan merugikan ramai pihak,” katanya.

    Media difahamkan ‘borang-borang yang berlegar terbabit’ dipercayai dari sebuah program yang menampilkan JPN di sebuah kawasan di daerah ini bulan lepas. Mengulas perkembangan lain, Ismail berkata Program Taklimat Unit Khas Bergerak JPN Negeri Sabah diadakan sebagai sebahagian daripada Kempen Sifar Daftar Lewat.

    “Misalnya hari ini (kelmarin), program di Sebatik diadakan bertujuan membolehkan kita memberikan taklimat pendaftaran kelahiran, kematian dan kewarganegaraan,” katanya.

    Menurutnya, kes daftar lewat adalah isu besar di Sabah kerana ramai ibu bapa yang tidak prihatin melengah-lengahkan pendaftaran kelahiran anak melebihi masa ditetapkan. “Semua pendaftaran kelahiran anak yang melebihi tempoh 42 hari secara automatik akan direkodkan sebagai Daftar Lewat Kelahiran, sebab itu jangan ambil mudah hal ini.

    “Perkara ini berlaku mungkin juga kerana ada masalah lain seperti ibu bapa yang sudah meninggal dunia atau perkahwinan ibu bapa yang tidak ‘teratur’ (berdaftar),” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: JPN Kesal ‘Dipergunakan’ Untuk Mengaut Untung Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top