Jeritan pekerja menyelamatkan seorang lelaki warga emas daripada menjadi mangsa kebakaran di Kampung Maonsan, Jalan Sin Onn, dekat sini, semalam. Difahamkan, ketika kejadian jam 2 tengah hari, mangsa, Wong Yu Loi, 73, tidur di rumah itu sebelum dikejutkan dengan jeritan pekerjanya yang mendapati asap keluar dari bumbung kediaman itu.
Menurut Wong, sebelum kejadian, dia tidur berseorangan di tingkat bawah rumah dua tingkat itu. “Saya tidak menyedari kebakaran berlaku di bahagian tingkat atas rumah, namun terjaga selepas pekerja kami menjerit dan terus keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurut anak mangsa, Wong Lon Ming, 46, dia hanya dimaklumkan berhubung kejadian itu oleh seorang saudara mereka. “Saya bersama empat ahli keluarga lain berada di rumah adik dan sebaik menerima panggilan, kami bergegas pulang sebelum mendapati sebahagian daripada rumah kami sudah dijilat api.
“Rumah itu saya diami sejak 40 tahun lalu dan tidak sangka ini terjadi. Banyak barangan termasuk pakaian dan peralatan perabot tidak sempat diselamatkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau Roslee Suyut berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.11 petang. Beliau berkata, susulan itu, seramai 14 anggota bersama empat jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat dan bahagian atas premis itu musnah sepenuhnya. Operasi memadamkan kebakaran bermula jam 2.22 petang dan api dapat dikawal selepas kira-kira 20 minit kemudian,” katanya.
Roslee berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.
0 comments:
Post a Comment