My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday 7 December 2017

    Dunia Bimbang Keputusan AS




    Kebimba­ngan dunia meningkat semalam menjelang pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk mengiktiraf kota Bai­tulmuqaddis sebagai ibu negara Israel. Langkah Trump itu akan memusnahkan dasar AS sejak beberapa dekad lalu tanpa mempedulikan amaran ia boleh mengakibatkan keganasan di Asia Barat memuncak. 

    Seorang pegawai kanan pentadbiran berkata, Trump akan mengumumkan keputusan itu pada pukul 1 tengah hari (2 pagi tadi waktu Malaysia) dari White House. “Beliau akan berkata bahawa kerajaan AS mengiktiraf bahawa Baitulmuqaddis ialah ibu kota Israel.

    “Trump menganggap keputusan ini se­­ba­gai pengiktirafan secara realiti daripada aspek sejarah dan juga era moden,” kata pegawai berkenaan yang enggan identiti­nya didedahkan.

    Katanya, Trump juga merancang memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis. “Perpindahan ini mengambil masa dan akan berlaku dalam masa beberapa tahun, bukannya beberapa bulan,” tambah­nya.

    Status Baitulmuqaddis merupakan isu kritikal dalam konflik Israel-Palestin dengan kedua-dua belah pihak menuntut bandar itu sebagai ibu negara mereka. Terdahulu, pemimpin Arab Saudi, Mesir, Jordan, Kesatuan Eropah, Perancis, Jerman dan Turki semuanya memberi amaran kepada Trump supaya memba­talkan langkah tersebut.

    Amaran seterusnya daripada pemim­pin-pemimpin dunia lain disuarakan se­ma­lam. “Saya tidak boleh mendiamkan pera­saan amat bimbang saya berhubung situasi yang muncul ini. “Baitulmuqaddis ialah bandar yang unik, suci kepada orang Yahudi, Kristian dan Islam,” kata ketua penganut Katholik, Pope Francis sehari selepas bercakap dalam telefon dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

    Menurutnya, adalah penting untuk mengekalkan status quo Baitulmuqaddis dan mengelak daripada menambah elemen ketegangan baharu di dunia yang sudah bergolak akibat begitu banyak konflik kejam Bercakap setibanya di Brussels untuk mesyuarat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Menteri Luar Britain, Boris Johnson turut bimbang de­ngan keputusan Trump.

    Katanya, Bai­tulmuqaddis perlu menjadi sebahagian daripada penyelesaian muktamad dalam rundingan pelan damai Israel-Palestin. China pula memberi amaran bahawa langkah itu boleh meningkatkan ketega­ngan di Asia Barat, manakala Turki ber­kata, ia boleh ‘membakar’ rantau itu. 

    Seorang jurucakap kepada Recep Tay­yip Erdogan berkata, Presiden Turki itu memanggil sidang tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam pada 13 Disember ini bagi mengusahakan tindakan bersama oleh negara-negara Islam berhubung isu Baitulmuqaddis.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Dunia Bimbang Keputusan AS Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top