ANGKARA dua tonggak meninggalkan skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) secara mengejut Ahad lalu telah menyebabkan juara empat kali Liga Super itu dirundung masalah dalaman.
Kehilangan ketua jurulatih, Ulisses Morais dan penyerang prolifik dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz menambah episod malang kelab mewah itu apabila tewas 0-2 kepada Song Lam Nghe An FC pada aksi Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di Stadium Vinh, Vietnam kelmarin.
Pengarah Teknikal kelab bola sepak JDT, Alistair Edwards (gambar) mengakui JDT menghadapi masalah dengan pasukan dan pihak pengurusan akan memperbaikinya. “Walaupun sudah lewat malam, kami tidak akan pernah berhenti bekerja. JDT akan kembali esok (semalam) dan kami akan mengadakan satu mesyuarat.
“Kami sudah mengetahui strategi bagaimana untuk memperbaikinya dan memantapkan pasukan,” katanya menerusi laman Facebook rasmi kelab itu, Johor Southern Tigers semalam.
Menurut Edwards, antara strategi bagi memperbaiki skuad Harimau Selatan ialah pasukan akan melakukan pertukaran pemain. “Selepas itu kami akan melakukan pertukaran yang lebih besar pada Jun, serta satu lagi pertukaran pada Disember,” ujarnya.
Tambahnya, kelab telah menyediakan bajet dan buat masa sekarang, mereka akan menggunakan pasukan yang ada selain cuba menggunakan beberapa pemain luar negara yang berada dalam skuad JDT II untuk membantu. Itulah yang sedang kami lakukan. Kami tidak akan berputus asa dan masih yakin dengan misi-misi kami. Kami akan terus berjuang sepanjang masa,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Morais mengumumkan meletakkan jawatan mengendalikan kelab itu selepas sembilan bulan berkhidmat atas faktor kesihatan keluarga. Selepas itu, penyerang prolifik dari Argentina, Diaz pula meninggalkan kelab tersebut ketika berada di hotel penginapan pasukan di Singapura pada tengah malam Ahad lalu.
0 comments:
Post a Comment