Tindakan seorang tukang cuci lelaki warga Nepal yang mengintai penuntut wanita jurusan undang-undang di tandas sebuah hotel di Bandar Sunway dekat sini pada 21 Julai lalu membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Lai Babu Lopchan, 27, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu. Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Tertuduh membayar jumlah denda itu.
Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut didakwa mengaibkan kehormatan dengan cara mengintai seorang pelajar kolej berusia 19 tahun di tandas sebuah hotel di Bandar Sunway, di sini pada pukul 9.45 malam, 21 Julai lalu.
Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda atau kedua-duanya. Dalam prosiding semalam, tertuduh memberi alasan masuk ke tandas wanita selepas tidak tahan untuk membuang air kecil disebabkan tandas lelaki penuh ketika itu.
“Sekiranya betul kamu tidak tahan, mengapa kepala kamu menjenguk di bahagian atas tandas perempuan itu?” soal Salamiah. Tertuduh bagaimanapun tidak menjawab pertanyaan tersebut.
0 comments:
Post a Comment