
Sementara permainan video lain mengambil masa sehingga bertahun-tahun untuk mengumpul peminat setia, ternyata Player Unknown Battleground menunjukkan sebaliknya apabila begitu mudah menduduki tangga teratas sebagai permainan paling kerap dimainkan di perisian Steam.
Permainan itu yang juga dikenali sebagai PUBG pernah mencatatkan 870,000 pengguna aktif, sekali gus mendahului angka dimiliki Dota 2 (840,000) pada hujung Ogos lalu. Ia juga mencatatkan 10 juta jualan tidak sampai setahun dikeluarkan kepada pengguna.

Bagi yang tidak tahu, PUBG adalah permainan tembak-menembak dalam kategori Multiplayer Online Battle Royale yang menempatkan satu hingga 100 pemain dalam sebuah pulau bagi mencari senjata dan kelengkapan untuk membunuh pemain lain.
Yang menariknya, mereka perlu terus hidup dan perlu mengelak daripada ditumpaskan sementara kawasan mengecil, sekali gus memaksa pemain untuk melindungi nyawa mereka sebaik mungkin di lokasi begitu sempit. Pemain terakhir terselamat dikira pemenang.
Boleh bermain dengan kawan sehingga empat orang, PUBG mungkin tampak seperti permainan yang tiada kekuatan plot dan jalan cerita gah tapi keseronokan ditemui dalam gaya permainannya begitu kompetitif dengan menggalakkan pemain berkomunikasi serta membuat keputusan bagi mencari kawasan ‘camping’ dengan selamat.
Lebih kompetitif, zon bahaya menyediakan pemain senjata lebih efektif namun meletakkan pemain berani ‘mati’ dalam kawasan sama. Jika ditewaskan, barangan anda juga boleh diambil dari pemain lain jadi risikonya tinggi. Bagaimanapun, setiap pemain diberi amaran sebelum kawasan ditempatkan kian mengecil.

Buat sementara ini, ia boleh dimainkan di perisian Steam (PC). Pasaran untuk Xbox One diumumkan akan tiba pada tahun ini manakala bagi Playstation 4 masih belum lagi diumumkan. Populariti permainan video ini yang naik mendadak mencetuskan idea kepada pembangun lain untuk membangunkan konsep sama contohnya seperti Fortnite Battle Royale.
0 comments:
Post a Comment