My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 1 March 2018

    Gadis 'Fighting Game' Luar Biasa


    Qistina Iman Abd Manaf seperti gadis lain seusia dengannya, ingin kebebasan dan kerap kali berdepan konflik dalam diri mahupun keseronokan. Namun, bezanya bagi gadis berusia 24 tahun ini, semua keinginan untuk berseronok dialihkan kepada peluang membangunkan industri e-sukan. 

    Jika diimbas kembali perjalanannya pada tiga tahun lalu, gadis tinggi lampai ini mengikut kata hati untuk mencari tempat dalam komuniti ‘gaming’ yang kebiasaannya didominasi lelaki. Ketika itu, Qistina mula mencari kerja tetap untuk hidup berdikari dan pada masa sama mendapatkan kawan dalam komuniti ‘gaming’. “Ayah meninggal dunia ketika usia saya 17 tahun.

    Ketiadaannya cukup memberi kesan sehinggakan saya perlu mencari sesuatu untuk mengalih perhatian daripada menjadi terlalu sedih.

    “Sebaik saja habis belajar, saya cari kerja tetap dalam bidang hartanah dan pada masa sama tidak lupa untuk tonjolkan sisi saya yang lain dengan bermain ‘game’ League of Legends. Bagi saya, mungkin itu cukup untuk mengubat kesedihan,” katanya mula bermain game sejak kecil.

    Bekerja dengan Garena Qistina berkata, dia begitu fokus mendalami permainan itu dan terfikir jika ada kerjaya sampingan yang boleh mengisi keterujaannya dalam ‘gaming’. “Ketika itu Garena mengiklankan untuk mencari pekerja separuh masa jadi saya terfikir, apa salahnya mencuba. Mungkin ini peluang saya untuk mendapatkan gambaran sebenar industri itu.

    “Alhamdulillah, saya diterima untuk menjadi duta bagi League of Legends bahagian Kuala Lumpur dan Selangor ketika berusia 21 tahun. “Ketika inilah saya ‘peras tenaga’ dan bekerjasama dengan kakitangan Garena untuk menganjurkan Weekend Cup, acara mingguan bagi League of Legends.
    Kerja saya banyak turun padang dan berinteraksi dengan komuniti,” katanya.

    Menurutnya, tidak lama kemudian bakatnya mula disedari oleh organisasi e-sukan lain iaitu Mineski dan dari situ, Qistina terus komited berkerjaya. “Firdaus Hashim yang menolong saya mendapatkan tawaran untuk mengulas dalam kejohanan Malaysia Cyber Games. Saya memang teruja kerana tugasan itu mencabar kredibiliti dan kebolehan saya sebagai seorang yang masih baru dalam industri. 

    “Tidak lama kemudian, saya mula bekerja di syarikat Asia Soft dan terbabit dalam operasi untuk permainan Heroes of the Storm. Pada masa itu juga, saya bekerja untuk Mineski secara sambilan,” katanya.

    Sertai komuniti ‘fighting games’ 

    Bagaimanapun, kata Qistina, titik permulaannya dalam e-sukan bermula apabila dia mengenali Azrul Anwar ataupun lebih dikenali sebagai Janda Hunter. “Boleh dikatakan saya begitu bertuah bertemu dengannya kerana dia memperkenalkan saya kepada Malaysia Fighting Games Community (MYFGC).

    “Pada mulanya saya terkejut kerana komuniti ini agak kecil jika dibandingkan dengan komuniti permainan video lain. Ahlinya juga ada yang sudah berumur 40-an,” katanya yang meminati permainan video Tekken.

    Sebagai wanita dalam komuniti yang memfokuskan permainan seperti Street Fighter, Tekken, Injustice dan Dragon Ball FighterZ itu, Qistina juga meluahkan rasa kurang selesa, tetapi dia bersikap optimis dan tidak gentar jika dilabel. Katanya, dia mendapat inspirasi untuk terus bersama komuniti itu kerana pengasasnya, Johnny Tan, seorang yang bercita-cita tinggi dan ingin mengembangkan lagi MYFGC.

    Urus acara MYFGC 

    Qistina berkata, selama lebih setahun bersama komuniti itu, dia ditawarkan memainkan peranan lebih besar dalam organisasi Flash Vision yang mengendalikan segala acara berkaitan komuniti MYFGC. “Johnny meletakkan kepercayaan kepada saya untuk menggalas tugas sebagai Pengarah Pembangunan Bisnes. Tugas saya banyak tertumpu kepada media sosial dan siapkan kertas kerja. 

    “Tapi saya juga diberi kepercayaan untuk menjalankan operasi acara. Walaupun penat menguruskan acara dan tidak tidur malam bagi memastikan ia berjalan lancar, ia berbaloi kerana saya rasa dengan usaha ini, komuniti berkembang lebih cepat dan ramai orang muda sekarang faham wujudnya komuniti di sebalik ‘fighting games’,” katanya.

    Dapat sokongan ibu 

    Meskipun seronok dan berpuas hati dengan kerjayanya, pasti timbul kerisauan terutama daripada perspektif ibu yang mungkin tidak faham dengan apa dilakukannya. Bagi Qistina, bukan mudah untuk melenyapkan tanggapan itu.

    “Tipulah kalau saya kata tidak pernah kecewa sebab ibu tidak nampak hasil usaha. Saya cekalkan diri dan terus komited meyakinkan ibu bahawa apa yang saya buat bukanlah sia-sia sebaliknya satu kebanggaan untuk diri sendiri. “Ketika kejohanan Selangor Cyber Games, abang kedua saya, Amir Asyraf turut hadir dan terkejut melihat saya mengendalikan acara Tekken yang dihadiri ramai orang. 

    “Abang datang untuk bagi sokongan, dia mengambil gambar dan hantar kepada ibu. Itulah saat ibu mula nampak kesungguhan saya dan mula beri sokongan sampai sekarang. Saya hampir menangis pada masa itu,” katanya.

    Ingin terus bersama MYFGC 

    Selepas lebih dua tahun bersama MYFGC dan Flash Vision, Qistina membuat keputusan terus bersama mengembangkan komuniti ini untuk beberapa tahun lagi. “Rasa sayang antara setiap ahli itu sangat kuat sehingga berat untuk saya ucapkan selamat tinggal. Selepas dua tahun, saya temui satu keluarga baru yang tidak pernah menilai atau bersikap buruk antara satu sama lain.

    “Mereka melayan saya dengan baik sekali dan saya rasa sudah menjadi tanggungjawab untuk terus mendedahkan komuniti ini kepada orang ramai. Lebih ramai orang maka lebih banyak acara besar dapat diadakan,” katanya.

    Qistina berkata, setakat ini sudah lebih tiga acara Flash Vision dikelolakan olehnya dan dia berbangga dengan pencapaian itu. “Sebaik saja selesai Selangor Cyber Games, saya menangis kerana puas hati dengan sambutan diterima. Ia membuatkan saya bertambah semangat untuk uruskan acara FV yang akan datang.

    “Alhamdulillah, saya dapat peluang itu dan akan gunakan sebaik mungkin untuk memastikan ‘fighting games’ lebih dikenali dan wanita sepatutnya tak dipandang rendah dalam e-sukan,” katanya.
    Akhir kata, Qistina berharap lebih ramai wanita di luar sana tampil berani dan tidak terikut dengan stereotaip yang menghalang wanita daripada terbabit dengan e-sukan. “Jangan takut sebaliknya berani tonjolkan kebolehan kita. Jantina tidak penting, yang ingin dilihat ialah apa kita boleh beri untuk kebaikan industri,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Gadis 'Fighting Game' Luar Biasa Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top