My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 9 May 2016

    Berilah Ruang Dan Peluang



    Sebelum tahun 1980-an, semua ibu bapa menyerahkan urusan anak dan sekolah kepada guru sepenuhnya. Baik kata cikgu, baiklah pada mereka. Bagaimanapun, zaman sudah berubah. Ramai ibu bapa kini sudah berpendidikan tinggi.

    Tidak hairanlah ada dalam kalangan mereka tanpa segan silu menegur pengurusan sekolah jika ada sesuatu pada pendapatnya tidak sesuai dengan anak mereka walaupun kepakarannya bukan dalam bidang pendidikan. Itulah antara cabaran utama yang dihadapi pengurusan sekolah dalam memenuhi aspirasi dan kehendak masyarakat yang pelbagai.

    Warga sekolah bukan lagi dianggap sebuah entiti berkecuali, sebaliknya dipenuhi dengan tanggungjawab berat bagi memastikan matlamat dan hasrat yang disasarkan mampu dicapai. Cukup banyak cabaran terpaksa dihadapi guru kerana institusi sekolah kini menjadi perhatian utama masyarakat.

    Pantang dicuit sedikit, pasti akan menjadi isu sensasi sekelip mata. Apatah lagi, jika membabitkan isu negatif. Sekolah, guru dan pelajar terus diberi pelbagai label yang kurang menyenangkan.

    Pensyarah Jabatan Pendidikan Psikologi dan Kaunseling, Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Mastura Badzis berkata, tindak-tanduk sesetengah pihak yang suka meletakkan kesalahan kepada pihak sekolah sukar dikikis kerana sudah sebati dan menjadi budaya sebahagian besar masyarakat moden hari ini.

    Katanya, walaupun sesuatu kejadian itu belum sahih, ada pihak terus mencetuskan provokasi awal sehingga menimbulkan keadaan bercelaru. “Perangai buruk ini perlu dielak kerana boleh memberi kesan kepada sekolah, guru dan pelajar.

    “Ia juga boleh menjejaskan nama baik sekolah selain mengganggu proses pembelajaran dan pengajaran.

    “Sekolah seharusnya perlu diberi ruang, kepercayaan dan sokongan. Malah sepatutnya dihormati kerana di sinilah bermulanya langkah pertama bagi melahirkan generasi yang akan menentukan jatuh bangun sesebuah negara,” katanya.

    Beliau berkata, tidak salah jika masyarakat mahu bersuara mengenai ketidakpuasan hati atau mengambil tindakan yang dirasakan wajar, namun ia perlu diteliti terlebih dahulu bagi mengelak pihak tidak bersalah menjadi mangsa.

    “Mentaliti masyarakat kita kini, kalau sesuatu itu menjadi viral atau buah mulut, mereka dengan mudah menjatuhkan hukuman sedangkan kebenarannya belum pasti lagi.

    “Saya tidak kata sekolah semuanya betul tapi jika benar wujud masalah, jangan terburu-buru menyalahkan pihak terbabit. Kita mahu mewujudkan persekitaran sekolah kondusif yang membolehkan pelajar seronok pergi ke sekolah, manakala guru pula tidak tertekan dengan pelbagai perintah.

    “Paling penting, fikirkan kesan sebarang tindakan yang kita lakukan kerana pelajar dan gurulah yang akan menghadapinya,” katanya.

    Beliau mengakui konflik yang wujud antara sekolah dengan ibu bapa dan pihak lain boleh menjejaskan institusi persekolahan. “Apabila berlaku konflik, sekolah sudah jadi tempat tidak menyeronokkan kepada pelajar dan guru. Ini sesuatu yang bertentangan dengan hala tuju pendidikan kerana kita mahu pelajar gembira ke sekolah dan dapat belajar dengan baik.

    “Guru pula mengajar dengan gembira dan tidak rasa terbeban dengan sungutan ibu bapa atau pihak lain. Andai kata institusi ini diganggu, warganya juga akan terganggu. Pelajar tertekan manakala guru pula putus semangat, jadi bagaimanakah sekolah boleh dikemudi dengan baik?” soalnya.

    Dr Mastura berkata, adalah normal jika wujud masalah di sekolah membabitkan pelajar, guru dan sebagainya tetapi yang diperlukan ialah cara terbaik untuk menyelesaikannya, bukan menjadikannya lebih kusut.

    “Contohnya, isu pelajar ponteng kerana tak suka dengan guru, menghadapi masalah disiplin atau tidak suka cara guru mengajar. Ini isu biasa dan berlaku di mana-mana sekolah di dunia. Tapi ada segelintir pihak menjadikannya sebagai sangat serius, rigid dan tidak boleh bertolak ansur. 

    “Meletakkan kesalahan atau mempersoalkan sesuatu tanpa mencari jalan penyelesaian mungkin boleh menimbulkan masalah lain pula,” katanya.

    Katanya, memang benar institusi sekolah boleh ditegur tapi ia perlu mengikut peraturan dan dilakukan secara berhemah. “Kalau tegur ikut emosi, hasilnya mungkin tidak ke mana, malah mungkin menimbulkan masalah lain pula,” katanya.

    Beliau meminta semua pihak agar jangan mengganggu sekolah dengan hal remeh-temeh, sebaliknya memberi ruang kepada institusi itu bersikap berkecuali. “Biarkan sesi persekolahan berjalan mengikut perancangan, jangan diganggu dengan sentimen atau permintaan bukan-bukan.

    “Ini penting bagi memberi ruang kepada guru melaksanakan tugas tanpa tekanan. Terganggu emosi guru, terganggu jugalah tumpuan pelajar,” katanya yang mengakui isu berkenaan hanya kes terpencil tapi perlu diberi perhatian serius.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Berilah Ruang Dan Peluang Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top