My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 26 July 2016

    ASEAN Beralah Dengan China



    Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) semalam memecah kebuntuan selama beberapa hari selepas Filipina menggugurkan permintaan supaya resolusi ASEAN mengandungi keputusan mahkamah antarabangsa mengenai Laut China Selatan, kata beberapa pegawai.

    Usul Filipina itu bagaimanapun dibantah sekutu China, Kemboja. China mengucapkan terima kasih kepada Kemboja kerana menyokong pendiriannya dalam pertikaian maritim itu. Konflik Laut China Selatan menyebabkan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di ibu kota Laos, Vientiane hujung minggu lalu menjadi kucar-kacir.

    Tuntutan bertindih dengan China di Laut China Selatan yang merupakan laluan perkapalan utama dunia menjadi isu utama dalam kalangan 10 negara ASEAN. Di samping mempertahankan kedaulatan masing-masing, negara-negara itu pada masa yang sama mahu mencari titik persamaan dan memperbaiki hubungan dengan Beijing.


    Mahkamah Tetap Arbitrasi pada 12 Julai lalu memihak kepada Filipina dalam keputusannya dan menolak tuntutan China ke atas hampir keseluruhan Laut China Selatan yang menjadi laluan dagangan bernilai lebih AS$5 trilion (RM20.3 trilion) setahun.

    Filipina dan Vietnam mahu keputusan mahkamah itu dan menggesa supaya China menghormati undang-undang maritim antarabangsa terkandung dalam kenyataan bersama ASEAN. Beberapa diplomat berkata, Kemboja membantah usul tersebut.

    Manila kemudian bersetuju menarik balik tuntutannya, kata seorang diplomat ASEAN semalam dalam usaha menghalang perpecahan yang akan menyebabkan ASEAN gagal mengeluarkan satu resolusi bersama.

    ASEAN sebaliknya sepakat untuk mencari penyelesaian damai berhubung perbalahan di Laut China Selatan selaras dengan undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

    “Kami masih memandang serius tentang perkembangan semasa dan pembangunan berterusan serta memberi perhatian mengenai kebimbangan beberapa menteri berhubung kerja penambakan dan peningkatan aktiviti di kawasan ini yang melunturkan keyakinan, meningkatkan ketegangan dan berisiko menjejaskan keamanan, keselamatan serta kestabilan serantau,” kata ASEAN.

    Dalam satu kenyataan berasingan, China dan ASEAN mengulangi komitmen kepada kebebasan pelayaran dan penerbangan di Laut China Selatan, manakala kedua-dua pihak turut bersetuju untuk mengelakkan aktiviti yang boleh meningkatkan ketegangan.

    “Aktiviti ini termasuk menghuni sebarang pulau atau terumbu kosong di Laut China Selatan,” demikian menurut kenyataan itu.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: ASEAN Beralah Dengan China Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top