PADA masa ini, penggunaan media sosial dalam kehidupan seharian tidak hanya terhad kepada perhubungan dan bersosial semata-mata. Untuk menjadi sebuah masyarakat yang berdaya saing, kita harus mengoptimumkan penggunaan aplikasi media sosial dalam pelbagai sektor seperti pentadbiran, pendidikan dan perniagaan.
Kemampuan untuk mengakses melalui aplikasi mudah alih (mobile web) dan kadar penembusan jalur lebar di Malaysia menjadi faktor pendorong kejayaan perkembangan media sosial. Ini kerana, ia memiliki kualiti capaian maklumat yang maksimum walaupun diakses melalui telefon pintar.
Perkembangan perniagaan online di negara ini bergantung kepada beberapa perkara seperti modal wang, infrastruktur dan kesediaan bekalan barangan serta perkhidmatan. Justeru itu, hubungan jaringan sosial adalah suatu perkara yang penting dalam keusahawanan berasaskan media sosial kerana ia dapat meluaskan pemasaran produk yang ditawarkan dan mengenal pasti peluang bagi mendapatkan sumber.
Hubungan sosial turut dianggap penting dalam perniagaan online terutamanya dari segi pembentukan reputasi perniagaan yang baik seterusnya dapat menginsankan (mesra pengguna) sesuatu perniagaan itu. Terdapat beberapa faktor yang menjadikan laman sosial sebagai perkara penting dalam perniagaan.
Media sosial memudahkan pengusaha atau para peniaga untuk mengenal pasti cita rasa bakal pengguna produk mereka. Sasaran Penggunaan media sosial turut membolehkan maklumat produk keluaran sesuatu syarikat itu sampai tepat kepada golongan sasaran. Kewujudan sistem pemasaran tanpa sempadan ini akan membuka banyak peluang jualan.
Sebagai contoh, siapa yang terfikir untuk menjual makanan tempatan seperti budu, sambal bilis dan bawang goreng di peringkat antarabangsa suatu masa dahulu? Namun, kini dengan adanya jaringan media sosial, semuanya itu telah direalisasi. Ini adalah hasil daripada penggunaan laman sosial yang mempunyai ramai pengguna berpotensi dan tanpa sempadan.
Hal ini akan membuka peluang jualan yang lebih besar kepada pengusaha jualan atau peniaga. Bukan peniaga-peniaga kecil sahaja yang menggunakan media sosial untuk aktiviti pemasaran mereka tetapi syarikat-syarikat besar juga tidak ketinggalan. Dalam dunia tanpa sempadan ini, pendekatan media sosial menjadi fenomena dan penting kepada persekitaran perniagaan.
Teknologi pemasaran media sosial ini boleh diguna pakai oleh usahawan bagi memastikan aktiviti pemasaran produk mereka dapat dipertingkatkan. Secara tidak langsung, ia dijangka memberikan kesan positif kepada penjenamaan syarikat usahawan terbabit melalui penggunaan medium media sosial.
Tambahan pula, faktor kebolehlihatan sesebuah laman media sosial syarikat adalah bergantung kepada maklumat dan isu yang dilontarkan. Bagi mendapatkan kesan penembusan jenama melalui media sosial, usahawan atau peniaga perlu menitikberatkan lima elemen penting iaitu interaksi, penghubung pautan, pengaruh, penganjuran dan kesan.
Ukuran boleh dibuat melalui pengiraan pengikut dan jumlah pelawat atau kepuasan pelanggan. Sebagai contoh, penggunaan blog dalam kalangan usahawan media sosial yang menekankan kepada bilangan capaian trafik pada setiap hari. Ini adalah penting bagi memastikan sama ada kebolehlihatan blog itu wujud dalam kalangan pengguna internet.
Strategi utama untuk berjaya dan lebih terkehadapan ialah berdasarkan kualiti maklumat, kualiti sistem dan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan menerusi platform ini. Pengguna akan berubah daripada pelawat biasa kepada pengguna yang setia disebabkan beberapa faktor yang disebutkan di atas.
Impak Oleh itu, faktor penembusan jenama boleh memberi impak yang besar kepada usahawan melalui penggunaan aplikasi media sosial sebagai alat pemasaran yang kompetitif. Media sosial merupakan jaringan rangkaian sosial yang penting kepada industri perniagaan kerana ia akan mempengaruhi strategi setiap perniagaan apabila peniaga menggunakan platform ini sebagai cara pemasaran.
Ia juga lebih berkesan berbanding dengan cara tradisional kerana peniaga tidak perlu pergi ke sesuatu tempat atau berjumpa dengan pelanggan sasaran bagi memasarkan produk atau perkhidmatan, sekali gus menjimatkan masa.
Cara pemasaran dalam media sosial juga semakin digemari oleh pengguna kerana memberi banyak faedah seperti menjimatkan masa dan kos. Kini, terpulanglah kepada para usahawan untuk memanfaatkan media sosial dalam perniagaan.
0 comments:
Post a Comment