China semalam memberi amaran “konflik dan konfrontasi” di Laut China Selatan selepas Beijing menolak keputusan Mahkamah Tetap Arbitrasi bahawa tuntutannya ke atas hampir keseluruhan perairan itu tiada asas undang-undang.
Keputusan tegas mahkamah yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di The Hague, Belanda itu membekalkan senjata diplomatik ampuh kepada Filipina. Manila memfailkan kes itu bagi menyelesaikan pertikaian di Laut China Selatan dengan Beijing yang telah berlarutan selama beberapa dekad.
Keputusan mahkamah timbang tara itu kelmarin bagaimanapun menimbulkan kemarahan Beijing. Kementerian luarnya segera mengisytiharkan bahawa penghakiman itu tidak sah. Beijing juga menyiarkan kertas putih semalam untuk menegaskan bahawa China mempunyai asas dan hak sejarah bagi tuntutan kedaulatan di Laut China Selatan.
Di Washington pula, duta China ke Amerika Syarikat (AS) memberikan kenyataan ringkas dan lantang berhubung keputusan mahkamah di The Hague. “Keputusan ini menjejaskan atau melemahkan semangat negara-negara untuk terlibat dalam rundingan bagi menyelesaikan pertikaian sesama mereka. Ia jelas akan meningkatkan konflik, malah mencetuskan konfrontasi,” kata duta itu, Cui Tiankai.
Sejurus selepas itu, Timbalan Menteri Luar China, Liu Zhenmin berkata, Beijing mempunyai hak untuk mengisytiharkan zon identifikasi pertahanan udara di Laut China Selatan. China akan mewajibkan pesawat awam melaporkan identitinya kepada pusat kawalan tentera semasa melalui laut itu.
“Sama ada Beijing akan mewujudkan zon ini bergantung kepada tahap ancaman yang kami terima. Jangan jadikan Laut China Selatan tempat tercetusnya perang,” kata Zhenmin kepada pemberita.
China menggunakan alasan bahawa negara itu yang pertama menemui, menamakan dan meneroka Laut China Selatan. Beijing menggariskan tuntutannya ke atas hampir keseluruhan perairan itu berdasarkan peta had sempadan mengandungi sembilan garisan putus-putus yang muncul pada tahun 1940-an.
Tuntutan Beijing bertindih dengan Filipina, Vietnam, Malaysia, Brunei dan Taiwan. Selain menyatakan hak sejarah China tiada asas undang-undang, Mahkamah Tetap Arbitrasi juga memutuskan pembinaan pulau tiruan dan halangan terhadap nelayan Filipina di Beting Scarborough adalah tidak sah.
Sementara itu, AS menekankan kelmarin bahawa China perlu menerima keputusan tersebut kerana telah menandatangani Konvensyen Undang-undang Laut PBB. “Seperti termaktub di bawah konvensyen ini, keputusan mahkamah arbitrasi perlu dipatuhi China dan Filipina,” kata jurucakap Jabatan Negara, John Kirby kepada wartawan di Washington.
China pernah menggunakan kekerasan tentera untuk merampas Kepulauan Paracel daripada Vietnam Selatan pada 1974 dan Terumbu Jonhson daripada Vietnam pada 1988.
0 comments:
Post a Comment