Parti Republikan semalam secara rasmi memilih Donald Trump calon untuk pilihan raya Presiden Amerika Syarikat pada November depan. Ia dianggap detik bersejarah dalam politik Amerika dan kemenangan menakjubkan bagi seorang lelaki yang impiannya menjadi pemimpin negara itu sebelum ini dipersenda.
Selepas kempen yang menyaksikan dia menumpaskan 16 pesaing, bilionair itu, dalam ucapannya semalam berkata, sudah tiba masanya untuk melancarkan kempen dan menumpaskan calon Demokrat, Hillary Clinton, pada pilihan raya itu kelak. “Ini satu pergerakan,” katanya kepada perwakilan menerusi sidang video.
Di pusat konvensyen di Cleveland, perwakilan negeri dari Alabama hingga ke Virginia Barat bergilir-gilir menyatakan sokongan kepadanya. Ketika Trump mengumumkan hasrat untuk bertanding menjadi calon parti itu di New York 13 bulan lalu, tidak ramai yakin dia akan menang.
Kejayaan Trump hanya dapat dilihat hampir dua bulan lalu. Bagaimanapun, di pusat konvensyen semalam, kejayaannya tidak mendapat sokongan sepenuhnya wakil parti. Ramai perwakilan bertepuk tangan sebagai menghormati keputusan itu, ada yang meninggalkan pusat berkenaan dengan perasaan marah atau menyuarakan rasa tidak senang hati mereka.
“Saya kecewa. Tetapi keputusan sudah dibuat,” kata Senator Utah, Mike Lee. Perwakilan dari Washington, Teri Galvez berkata: “Saya tidak menyokong Donald Trump.” Terdahulu, perwakilan yang pro dan anti-Trump saling mengejek satu sama lain ketika kumpulan penentangnya dalam Republikan berusaha menghalang dia daripada dicalonkan.
Pasukan kempen Trump bagaimanapun berharap, kebencian penyokong parti terhadap Hillary akan menyatukan parti itu. Hillary, ketika mengulas mengenai pemilihan Trump, menulis dalam laman Twitternya untuk memungut derma bagi kempen pilihan raya: “Donald Trump sudah terpilih menjadi calon Republikan. Mari kita derma untuk memastikan dia tidak menjejakkan kaki ke Rumah Putih.”
0 comments:
Post a Comment